SANDAKAN: Sebarang kerjasama politik antara Parti Warisan (WARISAN) dengan parti lain perlu berlandaskan keikhlasan dan sikap saling menghormati, bukannya semata-mata untuk mendapatkan pembahagian kerusi pilihan raya.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerjasama yang dibentuk perlu mengambil kira kekuatan setiap parti, selain memastikan calon yang diketengahkan mendapat sokongan rakyat.
Beliau berkata, parti yang mempunyai kekuatan di sesuatu kawasan juga tidak seharusnya menggunakan kelebihan itu untuk membolot semua kerusi.
“Tidak ada ertinya kita meletakkan calon kalau tidak menang. Kita perlu memastikan siapa yang boleh menang.
“Namun, jangan pula apabila kita mempunyai kekuatan, kita mahu mengambil semuanya. Kita perlu berpegang kepada nilai sebagai manusia dan pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan dan Pemilihan WARISAN 2026 di Dewan Hakka, di sini, hari ini.
Shafie berkata, WARISAN sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti politik lain, termasuk kemungkinan menjalin persefahaman bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih belum sampai ke peringkat perbincangan secara terperinci.
Menurutnya, kerjasama politik penting bagi memperkukuh kedudukan Sabah di peringkat Persekutuan kerana negeri ini hanya mempunyai 25 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
“Kita suka atau tidak, kita perlu bekerjasama kerana Sabah hanya mempunyai 25 kerusi daripada 222 kerusi di peringkat Persekutuan.
“Dalam kerjasama itu, perlu ada keikhlasan dan kebaikan. Kekuatan sesebuah parti boleh membantu menampung kelemahan parti lain,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman kerjasama politik terdahulu memberikan pengajaran penting kepada WARISAN untuk memperbaiki kelemahan dan merangka strategi lebih berkesan.
Dalam pada itu, Shafie turut mengingatkan pemimpin politik supaya tidak hanya bergantung kepada populariti di media sosial seperti TikTok dan WhatsApp.
Sebaliknya, beliau menegaskan kepentingan pemimpin turun padang bagi memahami masalah dan keperluan rakyat.
Sementara itu, Shafie memaklumkan WARISAN merancang bertanding di 26 kerusi pada pilihan raya akan datang.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pemangku Timbalan Presiden STAR, Datuk Lawrence Gimbang dan Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter.
— SNT
