Oleh Jaafar Abdul Wahid
KOTA KINABALU: Mesyuarat UMNO Cawangan-Cawangan yang bermula hari ini merupakan peluang kepada seluruh kepimpinan dan ahli akar umbi mengaplikasi semangat yang sedang membara agar dapat digembleng menjadi kekuatan bersama bagi menghadapi pilihanraya umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar) berkata, mesyuarat UMNO cawangan menjadi tumpuan ahli khususnya akar umbi untuk hadir dengan penuh semangat bagi memperbaiki parti dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
“Kekuatan UMNO itu secara keseluruhannya bermula dari akar umbi, selepas kita laksanakan mesyuarat Cawangan segala isu yang dibangkitkan akan dibawa ke peringkat Bahagian dan fokus kita pada Bahagian sangat penting agar strategi terbaik dapat diangkat.”
Sehubungan itu, beliau berkata, walaupun persidangan cawangan-cawangan UMNO berjalan dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 ianya bukan penghalang untuk ahli parti meneruskan agenda perjuangan parti.
” Selain pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan ,laksanakanlah mesyuarat dengan penuh semangat ,berdispilin dan sentiasa menjaga imej parti ” katanya dalam perutusanya sempana mesyuarat perwakilan cawangan cawangan UMNO yang akan berlangsung di seluruh negara bermula 15 Oktober dan berakhir pada 30 November depan .
Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO pemimpin serta ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu terus membina kekuatan keseluruhan jenteranya dan menyemarakkan semangat perjuangan ahli-ahli parti selepas teruji oleh keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
“Saya harap kepimpinan UMNO baik di peringkat cawangan dan bahagian perlu menekankan kerja berpasukan dalam memimpin UMNO ke arah kecemerlangan ” katanya
Jelasnya, peranan kerja berpasukan sangat penting untuk gerak kerja dan strategi yang dirancang antara pucuk pimpinan bahagian bersama akar umbi baik diperingkat Parlimen mahupun kawasan Daerah Undangan Negeri (DUN).
” Kita ketepikan dulu soal jawatan dalam bahagian atau soal calon pada PRU akan datang yang penting kita perkemaskan jentera parti bagi menjamin kemenangan ketika berhadapan PRU nanti” jelas Bung .
Dalam pada itu Ketua UMNO bahagian Kinabatangan itu juga mengingatkan ketua ketua cawangan UMNO agar mengenal pasti ahli ahli mereka yang masih berdaftar di peringat cawangan .
Tambah Bung keahlian parti di peringkat cawangan perlu dikemaskini bagi memudahkan gerak kerja semasa PRU selain dapat menyemak status ahli yang sebenarnya kerana sebelum ini timbul aduan dari ahli UMNO cawangan cawangan yang nama mereka didaftarkan menjadi ahli parti lain diluar pengetahuan mereka.
” Data keahlian ini penting bukan sahaja untuk gerak kerja parti sekali gus memudahkan parti membantu ahli ahli parti yang berhadapan musibah dan sebagainya dapat dibantu serta merta ” katanya