Jangan Mudah Terpedaya Jualan Dalam Talian – David

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan (gambar) menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform yang digunakan ketika melakukan transaksi.

Advertisements

Beliau memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah yang terdapat di dalam internet.

“Kebanyakan produk ini dijual daripada laman sesawang atau aplikasi tidak berdaftar di dalam negara dan ia tidak tertakluk kepada akta di dalam Malaysia.

“Sesetengah produk yang dipromosikan di platform tersebut mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Advokasi Pengguna Screen Shopping anjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tuaran yang diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa daerah (KPPD) Cawangan Tuaran, Saripuddin Moleng dengan kerjasama Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah di sini hari ini.

Jelas David pengguna akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak mereka daripada platform berkenaan jika kualiti produk yang dibeli melalui gimik jualan murah tersebut gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki oleh pengguna.

Sehubungan itu, David menasihati sebagai langkah yang lebih selamat, orang ramai digesa untuk lebih bijak menilai jualan dan promosi dalam platform e-dagang sedemikian.

“Orang ramai juga dinasihati sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform digunakan ketika melakukan transaksi, selain perlu meneliti syarat-syarat perkhidmatan dan polisi berkaitan dengan pembayaran balik serta pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform e-dagang.

“Ia penting bagi melindungi diri mereka daripada terdedah kepada risiko yang tidak diingini,” katanya.

Lebih 80 peserta telah menyertai program advokasi pengguna yangjulung kali diadakan secara dalam talian.

Penceramah jemputan khas Eksekutif Bank Negara Malaysia Kota Kinabalu, Mohammed Tonarusli Tonamli dan Penasihat Kewangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Victor Sabin, telah berjaya merungkai dan memberikan panduan berguna kepada peserta yang mengikuti program ini secara dalam talian.

Saripuddin berkata suasana pembelian sama ada barangan keperluan asas atau bukan keperluan asas harian melalui dalam talian (online commerce) sangat menggalakkkan dalam keadaan kita menghadapi dengan pandemik COVID19.

“Saya berharap agar dengan adanya program seperti ini, para peserta yang menyertai program ini dapat menyampaikan kepada rakan-rakan dan orang awam supaya lebih berhati-hati semasa pembelian secara dalam talian.

“Aduan yang kami terima setakat ini semakin membimbangkan kerana ianya melibatkan wang ringgit yang banyak.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab ini akan memperdaya para pengguna dengan perlabag modus operandi yang berbeza,” jelasnya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, Datuk Amisah Yassin (gambar) berkata rasa kesedaran terhadap pembelian melalui internet atau secara atas talian memang perlu ada dalam setiap orang.

Katanya, hak dan tanggungjawab ini harus seiring melibatkan para penjual serta pembekal barangan dan perkhidmatan.

“Pengguna membayar setiap pesanan yang mereka lakukan. Kita semua adalah pengguna. Mereka memain peranan yang penting dalam putaran sebagai pengguna bagi membeli barangan mereka.

“Kita sering mendengar dan membaca berita mengenai pengguna yang sering ditipu oleh peniaga dan pembekal. Jangan mudah tertipu dengan iklan yang penjual war-warkan tanpa ada kesangsian daripada anda sendiri sebagai pengguna yang bijak dan berpelajaran,”katanya.

Amisah meminta masyarakat hari ini lebih selesa untuk membeli secara dalam talian kerana kelebihannya yang membolehkan mereka membuat perbandingan harga selain memudahkan pengguna, namun kita meminta orang ramai supaya berhati-hati.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles