Sabah mahu maksimumkan nilai sumber minyak dan gas

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu memastikan pembangunan industri minyak dan gas bukan sekadar berasaskan penerokaan dan pengeluaran sumber, sebaliknya mampu mewujudkan nilai ekonomi lebih besar serta manfaat berpanjangan kepada negeri dan rakyatnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata persoalan lebih penting bukan semata-mata berapa banyak sumber yang dimiliki Sabah, tetapi sejauh mana nilai dapat diwujudkan daripada sumber berkenaan untuk manfaat negeri dan rakyat.

Beliau berkata, industri minyak dan gas merangkumi keseluruhan rantaian nilai, daripada infrastruktur dan perkhidmatan sokongan kepada aktiviti pertengahan dan hiliran, pembangunan vendor, teknologi, tenaga kerja berkemahiran, pelaburan serta aktiviti ekonomi yang berkembang dalam lingkungan industri itu.

“Sudah tentu, kita mahu supaya perkembangan industri ini dapat mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada Sabah,” katanya pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah Projek Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) dan Projek Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan PETRONAS di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency Kinabalu, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ewon Benedick.

Hajiji berkata, perkembangan aktiviti eksplorasi serta penemuan sumber baharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini membayangkan prospek pembangunan industri minyak dan gas yang lebih besar kepada Sabah pada tahun mendatang.

Katanya, infrastruktur SOGT dan SSGP perlu dilihat bukan sekadar berdasarkan fungsi operasinya masing-masing, tetapi sebagai sebahagian daripada infrastruktur penting yang menyokong ekosistem pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata, kedudukan infrastruktur itu berpotensi membuka ruang kepada perkembangan aktiviti ekonomi dan industri di kawasan sekitarnya, khususnya koridor Kimanis hingga Sipitang yang mempunyai potensi untuk terus berkembang sebagai kawasan pertumbuhan penting Sabah.

Sehubungan itu, katanya, infrastruktur yang dibangunkan perlu dimanfaatkan bukan sahaja untuk keperluan semasa, malah bagi menyokong peluang pelaburan, pembangunan industri dan peningkatan sosioekonomi pada masa hadapan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan, pelaburan dan kepakaran PETRONAS yang sekian lama menjadi sebahagian daripada perkembangan industri minyak dan gas tempatan serta rakan pembangunan Sabah.

Katanya, kerajaan negeri mahu melihat lebih banyak manfaat dan ruang kepada penyertaan tempatan, termasuk membolehkan syarikat serta vendor Sabah berkembang daripada sekadar melaksanakan kerja sokongan kepada membina keupayaan lebih kukuh dari segi teknikal, pengurusan, teknologi dan modal.

Beliau berkata, syarikat tempatan perlu mempunyai kapasiti untuk mengambil bahagian dalam peluang lebih besar dan bernilai tinggi dalam rantaian industri, manakala PETRONAS mempunyai peranan penting untuk bersama-sama kerajaan negeri merealisasikan aspirasi berkenaan.

Katanya, pada masa sama, pembangunan industri perlu disertai pembangunan modal insan dengan memastikan anak Sabah diberikan peluang memperoleh kemahiran, pengalaman dan pendedahan yang diperlukan untuk membina kerjaya dalam sektor minyak dan gas, khususnya dalam bidang teknikal dan profesional.

Hajiji turut menegaskan bahawa SEDCO perlu terus berkembang daripada sekadar pemilik dan pengurus aset kepada pemudah cara pelaburan serta rakan strategik industri, termasuk lebih proaktif mengenal pasti aset, peluang dan ruang kerjasama yang boleh dibangunkan bersama pemain industri.

Katanya, usaha itu merangkumi peluang berkaitan tanah, infrastruktur, pembangunan komersial dan bentuk kerjasama lain yang mampu memberikan manfaat bersama serta pulangan munasabah kepada negeri.

Beliau berkata, pemeteraian perjanjian pajakan tanah antara SEDCO dengan PETRONAS itu merupakan satu contoh bagaimana pengurusan aset tanah negeri dapat disusun secara lebih teratur, memberikan kepastian kepada pengguna dan pada masa sama memastikan kepentingan komersial negeri terus dipelihara.

Hajiji berharap kerjasama SEDCO-PETRONAS terus berkembang daripada hubungan berasaskan transaksi kepada hubungan strategik yang lebih luas dan saling memberikan nilai, sekali gus memastikan pengurusan serta pembangunan sumber dan aset negeri diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang nyata dan berpanjangan.Tamat

Related Articles

253FansLike

Latest Articles