TAIPEI: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar mengadakan kunjungan hormat rasmi ke Kementerian Pertanian (MOA) Taiwan di sini, dalam usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama bilateral dalam sektor pertanian antara Sabah dan Taiwan.
Delegasi Sabah itu disambut mesra pegawai kanan kementerian berkenaan, termasuk Timbalan Menteri Pertanian Taiwan, Dr. Wen-Jane Tu serta wakil Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa dan Agensi Pertanian dan Makanan Taiwan.
Pertemuan itu menjadi platform untuk meneroka peluang pertukaran dalam bidang pertanian, kerjasama teknikal serta inisiatif pembangunan bersama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya komuniti tani di Sabah.
Dalam sesi taklimat, pihak berkuasa Taiwan turut membentangkan gambaran keseluruhan struktur sektor pertanian negara itu serta pencapaian strategiknya.
Antara perkara yang dibincangkan ialah pertumbuhan dan kepelbagaian sektor pertanian Taiwan yang mencatat hasil lebih US$17.1 bilion setahun, dengan pengeluaran tanaman menyumbang 50.77 peratus, penternakan 34.66 peratus dan perikanan 14.53 peratus.
Delegasi Sabah turut diberi penerangan mengenai model pertanian pekebun kecil Taiwan, yang mempunyai purata saiz ladang hanya 1.1 hektar, termasuk strategi yang digunakan bagi memaksimumkan produktiviti dan memperkukuh keterjaminan makanan.
Perbincangan turut menyentuh usaha memperluas nilai ekonomi sektor pertanian melalui pembangunan industri berasaskan pertanian sekunder dan tertier, termasuk pemprosesan, penjualan serta agropelancongan, bagi meningkatkan sumbangan sektor itu kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Selain itu, aspek pertanian mampan turut diberi perhatian, khususnya amalan yang menekankan keterjaminan makanan, pemuliharaan tanah dan perlindungan ekologi.
Sesi berkenaan diakhiri dengan kedua-dua pihak menyatakan keyakinan terhadap prospek kerjasama lebih erat pada masa depan, terutama dalam bidang teknologi pertanian, peluasan pasaran dan metodologi pertanian mampan.
Kerjasama itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang pembangunan serta meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian, di samping memberi manfaat kepada komuniti tani di Sabah.
Jamawi berkata, MAFFI berminat dengan teknologi tanaman padi yang dilaksanakan di Taiwan yang boleh memberikan hasil sehingga 13 tan per hektar dan boleh menanam tiga kali setahun.
Hadir sama ialah Ketua Penolong Setiausaha (Dasar) MAFFI, Rumaizah Ajamain; Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Suraya Jubahar; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr. Ts. Ramle Hj. Kasin; dan Pengurus Besar Korporasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah, Jailis Masarip.
