KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dekat sini pada 11 September ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata MTPMA63 yang bertujuan membincangkan pelbagai tuntutan penting berkaitan hak Sabah dan Sarawak itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mesyuarat itu adalah antara program yang disusun dalam lawatan kerja Perdana Menteri ke Sabah yang bermula pada Khamis, katanya.
Mustapha berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis
penyampaian sumbangan kepada sembilan pelajar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu yang terkesan akibat kebakaran di Kg Numbak baru-baru ini.
Beliau berkata kerajaab sedang meneliti cadangan menempatkan sementara pelajar yang terjejas akibat kebakaran di Numbak di asrama sekolah yang masih mempunyai kekosongan bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terganggu.
Mustapha berkata, cadangan itu akan diteliti bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, khususnya bagi pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pelajar Tingkatan Enam.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian awal, terdapat pelajar terjejas yang masih tinggal di khemah di lokasi kejadian serta di masjid, justeru keadaan itu perlu diberi perhatian.
