TAWAU : Sabah tidak boleh terus bergantung kepada proses menunggu peruntukan dari persekutuan ketika masalah bekalan air semakin mendesak, sebaliknya kemampuan kewangan negeri perlu dimanfaatkan bagi mempercepatkan pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur demi kepentingan rakyat.
Aktivis masyarakat Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto, berkata pendekatan itu antara perubahan ketara yang dapat dilihat dalam usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus menangani masalah bekalan air yang sekian lama membelenggu negeri ini.
Menurutnya, masalah air bukan isu baharu yang muncul dalam tempoh pentadbiran kerajaan semasa, sebaliknya berpunca daripada pelbagai kelemahan infrastruktur dan sistem yang terkumpul sejak sekian lama.
Namun, katanya, perbezaan pendekatan kerajaan GRS Plus adalah apabila kerajaan negeri kini mempunyai ruang kewangan yang lebih baik hasil peningkatan pendapatan negeri untuk mengambil tindakan dan mendahulukan projek yang kritikal.
“Dulu, banyak projek pembangunan, termasuk infrastruktur asas terpaksa bergantung kepada peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.
“Ada projek yang menggunakan pembiayaan tertentu termasuk pinjaman mudah manakala proses kelulusan dan penyaluran peruntukan pula memerlukan masa.
“Apabila berlaku kelewatan, rakyat akhirnya terus menanggung masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha kerajaan negeri menangani isu gangguan dan ketidakstabilan bekalan air di beberapa kawasan di Sabah.
Mohd. Zaki turut berkata, peningkatan hasil negeri memberi peluang kepada kerajaan Sabah untuk mengambil pendekatan lebih proaktif.
Katanya, sekiranya sesuatu projek dianggap penting dan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, kerajaan negeri mempunyai pilihan untuk menggunakan kemampuan kewangan sendiri bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
“Ini yang perlu dilihat secara objektif Apabila hasil negeri meningkat, kerajaan mempunyai kemampuan yang lebih baik untuk mendahulukan projek tertentu menggunakan sumber kewangan negeri.
“Kita tidak boleh terus berada dalam keadaan menunggu terlalu lama sedangkan rakyat setiap hari berhadapan masalah air.
“Bagi saya, inilah antara perubahan pendekatan kerajaan GRS Plus. Daripada hanya menunggu, sekarang ada usaha untuk menggunakan kekuatan dan kemampuan negeri bagi menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Menurutnya, langkah itu penting kerana masalah air tidak boleh diselesaikan melalui satu projek atau pendekatan.
Sebaliknya, katanya, keseluruhan ekosistem bekalan air perlu diberi perhatian, bermula daripada sumber air mentah dan empangan, sehinggalah loji rawatan air (LRA), paip utama, tangki simpanan, pam dan sistem agihan.
Menurut Mohd. Zaki lagi, rakyat perlu melihat usaha menangani masalah air berdasarkan projek yang sedang dilaksanakan serta tempoh pelaksanaannya.
Antara projek penting tersebut ialah Empangan dan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata di Tawau, yang dijangka memberi kesan kepada peningkatan bekalan air di daerah berkenaan apabila siap kelak.
Selain itu, projek menaik taraf LRA Kogopon daripada kapasiti 40 juta liter sehari kepada 80 juta liter sehari turut dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan sistem bekalan air.
Bagi penyelesaian jangka panjang pula, Skim Bekalan Air Ulu Padas disifatkan sebagai projek strategik yang berpotensi memperkukuhkan sumber bekalan air di kawasan Pantai Barat.
Projek berkenaan disasarkan untuk dilaksanakan dalam tempoh jangka panjang, dengan sasaran siap sekitar 2030.
Turut diberikan perhatian ialah pembangunan Telibong II dan sistem bekalan air Kota Kinabalu–Tuaran, selain projek pembinaan dan penambahbaikan sistem bekalan air di beberapa daerah termasuk Semporna, Lahad Datu, Sandakan, Kota Marudu dan Kundasang.
“Apabila kita melihat semua projek ini, jelas bahawa masalah air tidak sedang dibiarkan.
“Projek sedang dilaksanakan secara berperingkat kerana setiap kawasan mempunyai masalah dan keperluan yang berbeza.
“Ada kawasan memerlukan sumber air baharu, ada yang memerlukan loji rawatan dan ada pula yang perlu membaiki sistem paip dan agihan,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Zaki berkata pembinaan projek baharu sahaja tidak menjamin penyelesaian sekiranya masalah infrastruktur lama terus dibiarkan.
Katanya, antara isu yang perlu diberikan perhatian serius ialah keadaan paip lama, pam, sistem agihan dan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).
Menurutnya, kehilangan air akibat kebocoran dan kelemahan sistem boleh menyebabkan rakyat tetap mengalami gangguan walaupun kapasiti pengeluaran air ditingkatkan.
“Masalah air bukan hanya kerana tidak cukup air mentah. Ada keadaan di mana air sudah dirawat, tetapi sistem penghantaran dan agihan pula menghadapi masalah.
“Sebab itu kerajaan perlu melakukan dua perkara serentak, iaitu membina infrastruktur baharu dan membaiki sistem lama yang sudah tidak lagi mampu menampung keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata, masalah yang terkumpul selama bertahun-tahun memerlukan penyelesaian secara berperingkat.
“Tidak munasabah untuk kita mengharapkan masalah yang sudah berlarutan sekian lama dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Kerajaan semasa berdepan dengan realiti sistem yang sudah lama, keperluan penduduk yang semakin meningkat serta pembangunan yang semakin pesat.
“Ini adalah cabaran yang perlu diselesaikan, bukan dengan retorik, tetapi melalui projek dan pelaksanaan,” katanya.
Mohd. Zaki juga menambah, rakyat berhak menuntut penjelasan dan mengkritik kerajaan apabila gangguan bekalan air berlaku.
Namun, beliau menegaskan penilaian terhadap kerajaan semasa juga perlu dibuat secara adil dengan mengambil kira sejarah masalah berkenaan.
Katanya, kerajaan terdahulu turut mempunyai tempoh pentadbiran masing-masing, namun masalah bekalan air masih berlarutan sehingga hari ini.
“Kalau kita mahu bercakap tentang siapa yang bertanggungjawab, kita perlu melihat sejarah secara menyeluruh.
“Masalah ini bukan bermula semalam. Kerajaan GRS Plus tidak mengambil alih sebuah sistem bekalan air yang sempurna. Sebaliknya, mereka mewarisi pelbagai masalah yang perlu diperbaiki,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu bukan alasan untuk kerajaan semasa melepaskan tanggungjawab.
“GRS Plus sekarang memegang amanah mentadbir. Maka, rakyat berhak melihat hasil.
“Kerajaan perlu memastikan projek yang dirancang benar-benar dilaksanakan, tidak tertangguh dan disiapkan mengikut jadual.
“Tidak cukup dengan mengumumkan projek. Yang penting ialah pelaksanaan dan hasilnya,” katanya.
Menurut Mohd. Zaki lagi, kerajaan juga perlu mempertingkatkan komunikasi dengan rakyat mengenai perkembangan projek air.
Tambahnya, rakyat perlu diberikan maklumat jelas mengenai projek yang sedang dilaksanakan, kos, kapasiti, kawasan yang menerima manfaat dan tempoh siap.
“Persoalan rakyat sebenarnya mudah. Projek apa yang sedang dibuat? Berapa banyak kapasiti air yang akan ditambah? Bila projek siap? Dan paling penting, bila air akan sampai ke rumah mereka?
“Itulah persoalan yang perlu dijawab secara konsisten oleh pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian masalah air perlu dilihat mengikut tiga tempoh.
Bagi jangka pendek, keutamaan perlu diberikan kepada pembaikan pam, paip, loji dan sistem agihan bagi mengurangkan gangguan.
Bagi jangka sederhana, projek menaik taraf loji dan penambahan kapasiti perlu disiapkan bagi meningkatkan jumlah bekalan.
Manakala bagi jangka panjang, projek berskala besar seperti Skim Bekalan Air Ulu Padas perlu direalisasikan bagi memastikan Sabah mempunyai sumber bekalan air yang mencukupi untuk masa depan.
Mohd. Zaki juga berkata, peningkatan hasil negeri perlu diterjemahkan kepada pembangunan yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Katanya lagi, kemudahan asas seperti air bersih seharusnya menjadi antara keutamaan kerana ia berkait secara langsung dengan kehidupan, kesihatan dan aktiviti ekonomi masyarakat.
“Rakyat tidak mahu hanya melihat angka hasil negeri meningkat.
“Mereka mahu tahu apa manfaatnya kepada kehidupan mereka.
“Kalau hasil negeri bertambah, maka kemampuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah asas rakyat juga sepatutnya bertambah,” katanya.
Menurutnya, kerajaan GRS Plus kini mempunyai peluang untuk membuktikan bahawa kekuatan kewangan negeri boleh digunakan bagi mempercepatkan pembangunan dan menyelesaikan masalah yang telah lama tertangguh.
“Daripada terus menunggu, kerajaan sekarang mempunyai peluang untuk bertindak.
“Daripada hanya bergantung kepada sumber luar, Sabah perlu menggunakan kekuatan yang dimiliki untuk mempercepatkan pembangunan.
“Sudah tentu masih banyak yang perlu dilakukan dan rakyat berhak terus menuntut penambahbaikan.
“Tetapi kita juga tidak boleh menafikan bahawa pendekatan sekarang menunjukkan usaha untuk bergerak ke arah penyelesaian yang lebih menyeluruh.
“Pada akhirnya, rakyat tidak menilai kerajaan berdasarkan berapa banyak projek diumumkan.
“Rakyat akan menilai berdasarkan satu perkara yang mudah. Apabila mereka membuka paip, adakah air mengalir? Itulah ukuran sebenar kejayaan,” katanya.
