PENAMPANG: Sabah dan Sarawak mempunyai peranan penting dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan termasuk siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, kedudukan Sabah dan Sarawak perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana kewujudan Persekutuan Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada kedua-dua wilayah berkenaan.
“Saya melihatnya dalam konteks yang lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, harus menjadi sebahagian daripada tadbir urus negara ini, dan boleh menjadi kingmaker sama ada mahu meneruskan Persekutuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, hari ini.
Ewon berkata, peranan kedua-dua wilayah itu tidak seharusnya diperkecilkan.
“Kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak adalah dalam menentukan sama ada Persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak, justeru jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata UPKO turut membuat persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk memperkukuh struktur parti serta menggalakkan ahli yang berhasrat bertanding supaya memperhebatkan kerja di lapangan.
Beliau berkata, bagi pembahagian kerusi, UPKO akan berunding dengan parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila tiba masanya.
“UPKO akan menyampaikan pandangan dan pendirian, sekurang-kurangnya dua kerusi sedia ada UPKO untuk Parlimen iaitu Tuaran dan juga Penampang itu haruslah diberi ruang untuk parti ini bertanding.
“Manakala perkara selebihnya itu, saya memilih untuk merunding melalui proses dalaman dalam GRS,” katanya.
Ewon berkata, setakat ini belum ada rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dan perkara itu akan dibincangkan pada masa yang sesuai bersama Ketua Menteri Sabah serta rakan-rakan dalam GRS.
