PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO, Datuk Ewon Benedick mahu tahun 2026 menjadi titik mula kepada era baharu dalam politik Sabah yang berteraskan kerjasama, perpaduan dan kepentingan masa depan negeri serta rakyat.
Beliau berkata, penyertaan UPKO dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuka ruang kepada parti itu untuk bersama-sama memperkukuh kesatuan politik Sabah serta memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri.
“Marilah menjadikan tahun 2026 ini sebagai titik mula era baharu dalam politik Sabah, menjadikan sejarah parti masing-masing yang lepas sebagai ikhtibar dan teladan.
“Sabah memerlukan fokus besar dalam menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0. Fokus besar ini pastinya akan dapat dibina, dikemaskan, digerakkan dan dijayakan apabila semua kita bersetuju bahawa masa depan Sabah dan rakyatnya harus menjadi agenda tunggal kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, malam tadi.
Ewon berkata, UPKO hadir dalam GRS dengan semangat persahabatan dan kerjasama, selain mahu menyumbang kepada kekuatan sedia ada gabungan itu.
Katanya, kerjasama tersebut turut penting dalam memperkukuh agenda pembangunan rakyat serta perjuangan menuntut pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kalau selama ini, saya bersama-sama dengan Datuk Armizan Mohd Ali bersatu memperjuang dan menuntut pelaksanaan MA63 melalui Kabinet Persekutuan, hari ini kerjasama ini disatukan melalui penyertaan UPKO dalam GRS,” katanya.
Menurutnya, UPKO memperakui prestasi kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, khususnya dalam penyelesaian perkara berkaitan tuntutan MA63.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 13 perkara berkaitan tuntutan MA63 telah dilaksanakan sepenuhnya, termasuk 11 perkara berkaitan Sabah.
“Kesemua perkara yang telah dilaksanakan sepenuhnya ini telah dimuktamadkan dan diselesaikan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Ewon berkata, UPKO juga melihat pertalian antara parti itu dan GRS sebagai sesuatu yang semula jadi melalui semangat Kinabalu yang menjadi simbol kedua-dua organisasi.
“UPKO menggunakan Gunung Kinabalu sebagai benderanya. GRS juga menggunakan Gunung Kinabalu sebagai latar logonya. Maka sebenarnya pertalian ini sudah semulajadi terbina melalui semangat Kinabalu yang menyatukan kita semua,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang 32 tahun penubuhannya, UPKO telah melalui pelbagai cabaran dan perubahan landskap politik di peringkat nasional serta Sabah.
Katanya, sepanjang tempoh itu, UPKO sentiasa menjadikan Wawasan dan Agenda Sabah First sebagai asas perjuangan, perkhidmatan dan pelayanan kepada rakyat.
“Berada dalam GRS, izinkan UPKO menyumbang kepada kekuatan sedia ada GRS terutama menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 berasaskan kepada Wawasan Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper,” katanya.
Ewon berkata, beliau percaya Sabah di bawah kepimpinan Hajiji dengan sokongan semua parti komponen GRS akan memasuki era yang lebih baik.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya memberi tumpuan kepada masa depan Sabah dan rakyat serta tidak lagi terikat dengan sejarah politik parti masing-masing.
“Mudah-mudahan perjalanan 32 tahun bagi UPKO yang seterusnya kekal relevan melalui GRS agar sama-sama kita membina negara Bangsa Malaysia yang lebih baik dan masa depan Sabah yang lebih makmur,” katanya.
