RANAU: Kerajaan Negeri terus memastikan pembangunan serta penyediaan kemudahan di kawasan luar bandar sentiasa diberi perhatian bagi meningkatkan kesejahteraan, keselesaan dan kualiti hidup rakyat, di samping memudahkan urusan harian penduduk setempat.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata kemudahan yang berkualiti bukan sahaja meningkatkan keselesaan penduduk, malah membuka peluang kepada pembangunan ekonomi setempat, memperkukuh aktiviti sosial serta mewujudkan komuniti yang lebih sejahtera.
“Penyediaan kemudahan seperti dewan serbaguna bukan sekadar menyediakan ruang untuk penganjuran majlis dan aktiviti kemasyarakatan, malah menjadi pusat penyatuan penduduk serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Dewan Serbaguna dan Sambutan Kaamatan Kampung Mohimboyon di sini, pada hari Sabtu.
Kata Masidi, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap projek pembangunan dan kemudahan lain dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi spesifikasi dan standard yang ditetapkan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat secara maksimum.
“Oleh yang demikian, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan serta setiap rakyat berpeluang menikmati hasil kemajuan negeri secara saksama,” kata beliau.
Pada masa sama, beliau turut mengajak semua lapisan masyarakat agar terus memelihara semangat perpaduan, kerjasama dan saling menghormati yang menjadi asas kepada keharmonian serta kemajuan penduduk setempat.
