Sri Kanji berpotensi tingkat pendapatan pekebun

BELURAN: Tanaman ubi kayu varieti Sri Kanji 1 berpotensi meningkatkan pendapatan penduduk di Paitan dan Pitas, dengan setiap pokok mampu menghasilkan purata 10 kilogram ubi kayu yang sesuai diproses menjadi makanan ternakan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, potensi tanaman itu perlu diperluaskan dalam kalangan penduduk setempat berikutan harga pasaran yang baik dan jaminan pembelian hasil oleh syarikat pengusaha.

“Saya telah mencadangkan agar Jabatan Pertanian Sabah bekerjasama dengan pihak syarikat untuk mempromosikan tanaman ubi kayu Sri Kanji ini dalam kalangan penduduk Paitan dan Pitas kerana potensinya serta harga yang amat baik.

“Hasil yang ditanam oleh penduduk kampung akan dibeli sepenuhnya oleh syarikat ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke ladang ubi kayu Tri Corpora Sdn Bhd di Kampung Tangkarason, Paitan, Beluran, kelmarin.

Jamawi berkata, syarikat itu kini mengusahakan tanaman ubi kayu varieti Sri Kanji 1 di kawasan seluas 31 ekar secara berperingkat dengan menggunakan mesin sepenuhnya.

Menurutnya, varieti itu amat sesuai diproses menjadi makanan ternakan, yang kini dijual pada harga RM1.20 sekilogram.

Beliau berkata, setiap hektar tanah boleh menampung kira-kira 10,000 pokok dengan jarak tanaman tiga kaki kali enam kaki, manakala setiap pokok mampu menghasilkan purata 10 kilogram ubi kayu.

Katanya, Tri Corpora merancang membuka tambahan 300 ekar tanah bagi tanaman itu tahun depan bagi memperluaskan pengeluarannya.

Syarikat berkenaan juga sedang membina kilang pemprosesan ubi kayu kepada makanan ternakan yang dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027.

Jamawi berkata, usaha mempromosikan varieti Sri Kanji 1 melalui kerjasama Jabatan Pertanian Sabah dan pihak syarikat dapat membuka peluang kepada penduduk setempat untuk menceburi tanaman komersial berasaskan keperluan industri makanan ternakan.

Lawatan itu turut disertai Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson Jaimi, Timbalan Pengarahnya, Suraya Jubahar, serta pegawai daripada Bahagian Penyelidikan ARC Tuaran dan ARC Tenom.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles