Salleh teliti WP01, WP02 Pan Borneo, sedia syor percepat pelaksanaan

KOTA KINABALU: Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak meneliti sendiri kemajuan pelaksanaan Pakej Kerja (WP01) dan (WP02) Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi mendapatkan gambaran secara langsung mengenai perkembangan sebenar projek serta cabaran yang dihadapi di tapak sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Beliau berkata, lawatan kerja ke kedua-dua pakej itu baru-baru ini memberi tumpuan kepada isu teknikal dan kontraktual yang mempengaruhi pelaksanaan projek, selain membolehkan setiap isu dinilai secara terus bersama agensi pelaksana dan kontraktor.

Katanya, sepanjang lawatan itu beliau menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor mengenai status semasa projek, langkah pemulihan yang sedang dilaksanakan serta hala tuju bagi kedua-dua pakej berkenaan.

“Saya percaya lawatan ke tapak amat penting kerana ia memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan sebenar projek.

“Ia membolehkan setiap isu disahkan secara langsung dan penyelesaian yang praktikal dikenal pasti berdasarkan keadaan sebenar, bukan semata-mata berdasarkan laporan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Salleh, pemantauan di lapangan juga penting supaya setiap isu pelaksanaan dapat dinilai secara terus bersama agensi dan kontraktor berkaitan, sekali gus membantu mempercepat penyelarasan serta tindakan susulan yang diperlukan di peringkat pelaksanaan dan membuat keputusan.

Beliau berkata, susulan lawatan itu, satu laporan akan disediakan untuk dikemukakan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, laporan berkenaan akan merangkumi penemuan utama di tapak, cadangan penyelesaian serta hala tuju yang dicadangkan, termasuk perkara yang memerlukan campur tangan kerajaan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Setiap kelewatan mempunyai kos. Keutamaan kita ialah memastikan projek-projek infrastruktur dapat disiapkan dengan cekap supaya rakyat Sabah dapat menikmati manfaatnya tanpa kelewatan yang tidak perlu,” katanya.

Salleh berkata, WP01 dan WP02 merupakan antara pakej terawal Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di bahagian selatan negeri yang meliputi jajaran dari Sindumin di sempadan Sabah-Sarawak hingga ke Beaufort.

Menurutnya, WP01 menghubungkan Sindumin dengan Kampung Melalia di Sipitang, manakala WP02 menyambung laluan dari Kampung Melalia ke Klias, Beaufort.

Beliau berkata, kedua-dua pakej itu penting kerana menjadi pintu sambungan utama rangkaian Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Merapok.

Katanya, selain meningkatkan hubungan jalan raya antara Sipitang dan Beaufort, laluan itu dijangka memperkukuh pergerakan logistik, memudahkan akses penduduk setempat serta mengukuhkan rangkaian pengangkutan antara Pantai Barat Selatan Sabah dengan daerah lain di negeri ini.

Menurut Salleh, kepentingan strategik WP01 dan WP02 menggambarkan peranan kedua-dua pakej itu dalam pembangunan keseluruhan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta usaha mempertingkatkan jaringan perhubungan dan pembangunan negeri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles