Pindaan RUU Akta Pengangkutan Jalan pastikan jalan raya tidak terus jadi “pentas duka” – Matbali

KUALA LUMPUR: Pindaan ke atas Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sebagai ikhtiar murni kerajaan bagi memastikan jalan raya tidak lagi menjadi ‘pentas duka dan medan darah merah mengalir’, kata Anggota Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah.

Beliau percaya matlamat akhir pindaan itu tertumpu kepada usaha mengurangkan risiko kemalangan, khususnya kemalangan maut.

“Contohnya pada tahun 2022, terdapat 6,080 kes kemalangan maut, meningkat kepada 6,300 kes pada tahun berikutnya, kemudian 6,464 kes pada tahun 2024 dan terus melonjak kepada 6,537 kes pada tahun lepas (2025).

“Jadi biarlah undang-undang ini menjadi pelita yang menerangi perjalanan rakyat, agar setiap yang keluar dari rumah dapat kembali dengan selamat ke pangkuan keluarga,” katanya.

Matbali berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang itu di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sambil menyatakan sokongan kepada Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2026 itu, beliau berkata pindaan undang-undang sahaja mungkin tidak mampu menghapuskan semua kemalangan, namun ia diharap dapat mengurangkan risikonya melalui undang-undang yang tegas, penguatkuasaan yang berkesan dan kesedaran yang berterusan.

“Sudah tiba masanya kita mengubah persepsi bahawa pematuhan undang-undang hanyalah kerana takut kepada disaman. 

“Sebaliknya, pematuhan mestilah lahir daripada kesedaran bahawa setiap peraturan diwujudkan demi melindungi nyawa kita bersama,” katanya.

Menurutnya budaya keselamatan tidak boleh dibina melalui kempen bermusim semata-mata. 

“Ia mesti dipupuk melalui pendidikan, penguatkuasaan dan ketegasan undang-undang. 

“Apabila undang-undang diperkasakan, maka mesejnya jelas: nyawa rakyat tidak boleh dikompromi,” tambah beliau.

Matbali berkata pindaan tersebut juga penting dalam usaha mendisiplinkan pengguna dan pemandu. 

“Jalan raya bukan gelanggang perlumbaan dan bukan tempat untuk menguji keberanian. 

“Pemandu yang cuai, memandu secara melulu atau mengabaikan peraturan bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri, malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Skop pindaan itu meliputi empat kategori  —  iaitu digitalisasi, denda, peruntukan baharu dan penambahbaikan peruntukan — menjurus ke arah kebaikan, sejajar dengan dasar keselamatan jalan raya yang diamalkan di banyak negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles