Sabah Mula Meraih Hak di bawah PMX Meski Perjuangan Masih Panjang- Mustapha Sakmud nekad lakukan terbaik untuk Sabah

Oleh: Mohd. Zaki Harry Susanto, Aktivis Masyarakat

(Zaki cuba memberikan pandangan secara bebas dan neutral dengan mengetepikan sentimen politik kepartian serta menilai berdasarkan fakta dan perkembangan semasa.)

KOTA KINABALU: Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia pada November 2022, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah memasuki satu fasa yang boleh dianggap lebih konstruktif berbanding sebelum ini.

Walaupun masih terdapat beberapa tuntutan penting yang belum diselesaikan sepenuhnya, khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, tidak dapat dinafikan bahawa beberapa langkah signifikan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuhkan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Antara yang paling menonjol ialah kesediaan Kerajaan Persekutuan melaksanakan pendekatan desentralisasi kuasa yang sekian lama dituntut oleh Sabah dan Sarawak. Dalam Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan kuasa melulus dan melaksanakan projek pembangunan Persekutuan bernilai sehingga RM50 juta diserahkan kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak.

Langkah ini bukan sekadar perubahan pentadbiran biasa. Ia mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kemampuan negeri untuk menentukan sendiri keutamaan pembangunan yang lebih dekat dengan keperluan rakyat tempatan.

Bagi Sabah yang sekian lama berdepan kelewatan pelaksanaan projek akibat proses birokrasi yang panjang di Putrajaya, keputusan ini membuka ruang kepada pembangunan yang lebih pantas, cekap dan responsif.

Dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pencapaian paling ketara ialah peningkatan Geran Khas Sabah. Jika pada tahun 2022 Sabah menerima RM125.6 juta, jumlah itu meningkat kepada RM300 juta pada tahun berikutnya sebelum dinaikkan kepada RM600 juta dan seterusnya RM1.5 bilion bermula tahun 2026.

Peningkatan yang begitu ketara menunjukkan kesediaan Kerajaan Persekutuan bergerak ke arah semangat sebenar Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan walaupun formula penuh tuntutan 40 peratus masih melalui proses perundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Lebih penting, tuntutan Sabah kini tidak lagi dilihat sebagai isu politik bermusim. Sebaliknya, ia semakin diiktiraf sebagai hak yang terkandung dalam dokumen pembentukan Malaysia yang perlu dihormati dan dilaksanakan secara berperingkat.

Pendekatan ini membawa mesej yang jelas bahawa Sabah bukan sekadar sebuah negeri biasa dalam Persekutuan, tetapi sebuah wilayah pengasas Malaysia yang mempunyai kedudukan dan hak-hak tertentu sebagaimana yang termaktub dalam MA63.

Dalam perkembangan berkaitan, wajar juga diberikan penghargaan kepada pemimpin Sabah yang memainkan peranan penting dalam membawa suara Borneo ke peringkat Kerajaan Persekutuan. Antara yang sering dikaitkan dengan usaha tersebut ialah Datuk Mustapha Sakmud yang diberi tanggungjawab besar dalam memperjuangkan pelbagai isu melibatkan Sabah dan Sarawak.

Sebagai anak Sabah yang berada dalam kepimpinan Kerajaan Persekutuan, beliau dilihat konsisten mengangkat pelbagai perkara berkaitan hak negeri, pembangunan wilayah Borneo serta pelaksanaan agenda MA63. Walaupun banyak keputusan dibuat secara kolektif oleh Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal MA63, penglibatan aktif beliau dalam pelbagai rundingan dan sesi libat urus wajar diberikan pengiktirafan.

Antara kejayaan yang sering dikaitkan dengan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memenuhi aspirasi Borneo ialah penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penurunan kuasa melibatkan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan serta pelbagai langkah memperkukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

Dalam sektor tenaga pula, Kerajaan Persekutuan menunjukkan kesediaan memberi ruang yang lebih besar kepada Sabah menentukan hala tuju industrinya sendiri. Usaha memperkukuhkan peranan Sabah dalam pengurusan sumber tenaga, termasuk melalui Sabah Energy Corporation dan pelbagai kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan, memberi gambaran bahawa autonomi ekonomi dan tenaga sedang bergerak ke arah yang lebih positif.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut meneruskan agenda untuk meningkatkan penguasaan terhadap Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), yang memerlukan kerjasama erat antara kedua-dua kerajaan bagi memastikan bekalan tenaga yang lebih stabil dan berdaya saing untuk rakyat Sabah.

Selain itu, Sabah terus menerima antara peruntukan pembangunan tertinggi dalam negara melibatkan pembinaan dan naik taraf jalan raya, bekalan air, elektrik luar bandar, sekolah daif, hospital serta kemudahan kesihatan. Ini membuktikan bahawa pembangunan Sabah kekal menjadi agenda penting dalam pelan pembangunan nasional.

Sudah tentu masih terdapat ruang yang luas untuk penambahbaikan. Rakyat Sabah masih menunggu penyelesaian muktamad terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan, penambahan kerusi Parlimen selaras kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah pengasas Malaysia, serta beberapa lagi perkara yang masih terkandung dalam senarai tuntutan MA63.

Namun, jika penilaian dibuat secara neutral, tempoh pentadbiran PMX setakat ini memperlihatkan kemajuan yang nyata berbanding sekadar retorik politik yang sering kedengaran pada masa lalu.

Hak Sabah mungkin belum diperoleh sepenuhnya, tetapi proses mengembalikan hak tersebut kini bergerak dengan lebih tersusun, sistematik dan mempunyai hala tuju yang lebih jelas.

Ya… Perjuangan MA63 sememangnya masih panjang. Namun rakyat Sabah juga harus bersikap adil dengan mengiktiraf bahawa beberapa perkara yang selama ini hanya menjadi bahan perbincangan akhirnya mula diterjemahkan kepada tindakan yang boleh diukur dan dinilai.

Dalam politik, kejayaan tidak semestinya diukur melalui penyelesaian mutlak dalam tempoh yang singkat, tetapi melalui keberanian memulakan perubahan yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Dalam konteks itu, pentadbiran PMX wajar diberikan kredit kerana berjaya membuka lembaran baharu hubungan Persekutuan-Sabah yang lebih menghormati semangat Malaysia 1963, walaupun perjalanan untuk mencapai matlamat sepenuhnya masih belum berakhir.

Sabah mula meraih haknya satu demi satu. Perjalanannya mungkin belum selesai, namun sekurang-kurangnya arah tuju yang sedang dilalui hari ini menunjukkan bahawa perjuangan itu tidak lagi sekadar janji, tetapi semakin diterjemahkan kepada tindakan.

Moga segala yang diumumkan akhirnya menjadi realiti yang dirasai rakyat, dan bukannya sekadar polemik yang tinggal dalam lipatan sejarah.

Meskipun banyak lagi yang kerajaan Persekutuan perlu laksanakan namun fakta menunjukkan PMX telah melakukan yang terbaik untuk Sabah dan Sarawak setakat ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles