Oleh: JJ
TAMBUNAN: Nilai `mogitatabang’ (tolong-menolong), saling menghormati dan semangat kekitaan yang menjadi asas kekuatan masyarakat Kadazandusun sejak dahulu lagi perlu terus dipertahankan bukan sahaja dalam keluarga tetapi juga dalam kehidupan bermasyarakat.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu, Dato’ Victor P. Paut berkata, nilai ini perlu difahami dan menjadi tanggungjawab bersama bukan sahaja sebagai ahli persatuan tetapi juga sebagai ahli keluarga dan masyarakat untuk terus memelihara keharmonian, memperkukuh perpaduan serta memastikan negeri Sabah terus berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera.
“Kita tidak boleh berpecah, kita tidak boleh alpa, kita mesti terus bersatu berfikiran matang bertindak dengan penuh tanggungjawab demi masa depan anak cucu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan persamian serentak Mesyuarat Agung Tahunan ke-33, Sambutah Hari Keluarga dan Perayaan Pesta Kaamatan Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVTM) Cawangan Tambunan, di Stone Garden, Tambunan, Sabtu lepas.
Victor, yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan berkata, Pesta Kaamatan mengajar masyarakat Kadazandusun erti kesyukuran atas hasil usaha dan nikmat kehidupan.
“Ia juga mengingatkan kita bahawa kejayaan hanya dapat dicapai apabila kita bekerjasama saling mempercayai dan bergerak sebagai satu komuniti yang kuat,” katanya,
Beliau mengajak ahli persatuan itu dan masyarakat Kadazandusun keseluruhan untuk terus memperkukuh semangat kebesamaan dan jalinan keharmonian.
Di majlis itu, Victor yang juga penaung veteran ATM cawangan Tambunan turut meluluskan geran tahunan sebanyak RM10,000 kepada PVTM cawangan Tambunan dan berharap dana ini digunakan sebaik mungkin.
Majlis itu turut dihadiri Yang DiPertua (YDP) PVTM Negeri Sabah, Rudimin Jaafar dan Ketua Cawangan PVTM Tambunan, Oliver Olang.
