TENOM: Seramai 82 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang diadakan Hotel Perkasa Tenom, di sini, hari ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar yang juga ADUN Melalap berkata, pelantikan itu dibuat melalui proses saringan yang teliti bagi memastikan hanya calon terbaik dipilih untuk memimpin masyarakat di peringkat kampung.
“Pada hari ini kita telah menyerahkan watikah pelantikan kepada semua pengerusi JKKK di kawasan DUN Melalap, seramai 82 orang.
“Kita ucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang serta Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor kerana merestui pelantikan ini yang melalui tapisan cukup ketat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara tersebut.
Jamawi berkata, pemilihan dibuat melalui pencalonan oleh masyarakat kampung sebelum calon dipanggil menghadiri sesi temu duga oleh jawatankuasa khas.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pemimpin yang dilantik benar-benar berwibawa dan mampu membawa suara rakyat di peringkat akar umbi.
Jamawi turut mengingatkan semua pengerusi JKKK yang baharu supaya bekerjasama dengan kepimpinan terdahulu bagi memastikan kesinambungan pelan pembangunan kampung.
“Saya telah mengamanahkan kepada semua pengerusi JKKK supaya mengadakan pertemuan dan berbincang dengan pengerusi lama agar pelan pembangunan di kampung masing-masing dapat diteruskan dengan baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pengerusi JKKK perlu berkhidmat untuk seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.
“Kita tidak mahu lagi masalah di kampung dilabel berdasarkan parti atau sokongan mana-mana pihak kerana hari ini kita bekerja untuk keseluruhan rakyat Melalap,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi berkata, pihaknya akan meneruskan usaha memperkukuh pentadbiran kampung termasuk pelantikan di peringkat Mahkamah Anak Negeri, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri serta Ketua Kampung.
Katanya Pusat Khidmat ADUN Melalap akan melaksanakan jelajah ke setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan mukim bagi menilai keperluan pembangunan setempat.
“Kita akan turun padang melihat sendiri pelan pembangunan termasuk sistem pengairan sawah padi, jalan kampung dan jalan pertanian yang akan kita usahakan untuk diselesaikan dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau yakin dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta pentadbiran daerah, kepimpinan kampung di Melalap mampu menjadi contoh terbaik di negeri ini.
Sementara itu, Jamawi turut menjemput orang ramai menghadiri Pesta Kaamatan peringkat daerah Tenom dan daerah kecil Kemabong yang akan diadakan pada 9 Mei ini di Dewan Masyarakat Tenom.
Katanya, pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran, jualan dan program rasmi akan dianjurkan sepanjang sambutan tersebut.
“Jangan lupa juga pameran konsep Kebun Dapur oleh kementerian bermula 6 hingga 9 Mei. Banyak hadiah disediakan termasuk benih tanaman, anak ikan, ayam, itik dan kambing.
“Jadi saya jemput semua masyarakat Tenom, Kemabong, Melalap dan kawasan sekitar untuk hadir memeriahkan sambutan ini,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Penolong- penolong Pegawai Daerah , Dr. Zulasri Pitting (Pembangunan) dan Marcellus Joanes (Pentadbiran), Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dun Melalap, Denesly Justin; Ketua Daerah yang diwakili oleh Patrick Gantiu, KAN Dun Melalap; penceramah serta pegawai daripada Kementerian Pembangunan Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).
Selepas itu, dalam acara berasingan Jamawi mengadakan mesyuarat dengan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).
