KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran memperkenalkan konsep ‘cuti terapung’ (floating holiday) bagi memberi fleksibiliti kepada rakyat Sabah memilih hari kelepasan yang lebih bermakna mengikut keperluan budaya dan peribadi masing-masing.
Cadangan tersebut dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Khamis.
Madius berkata, pengenalan satu atau dua hari cuti terapung setahun itu bukan sekadar satu dasar, malahan ia merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap kepelbagaian etnik dan budaya yang menjadi nadi keharmonian di Sabah.
“Sabah bukan wilayah satu wajah. Kita adalah kisah yang pelbagai dan harmoni. Namun realitinya, tidak semua hari kelepasan hari ini bermakna kepada semua orang.
“Mengapa kita tidak memberi rakyat kita satu hak yang sangat asas, iaitu hak untuk memilih hari yang paling bermakna dalam hidup mereka?” katanya.
Beliau memberi contoh situasi di mana pekerja, terutamanya dari luar bandar seperti Tamparuli, sering berdepan dilema untuk memilih antara tuntutan kerja atau pulang menyambut perayaan tradisi seperti Tadau Kaamatan bersama keluarga.
Mengulas mengenai kebimbangan terhadap aspek produktiviti, Madius menegaskan bahawa fleksibiliti yang diurus dengan sistematik tidak akan menjejaskan operasi, malah mampu meningkatkan kesetiaan dan motivasi pekerja.
“Fleksibiliti yang diurus dengan baik bukan melemahkan sistem, sebaliknya menguatkannya.
“Pekerja yang dihargai akan memberi lebih, manakala pekerja yang didengari akan lebih setia kepada organisasi.
“Dengan garis panduan jelas seperti permohonan awal dan had satu atau dua hari sahaja, kita mampu mengekalkan produktiviti sambil menjaga kebajikan jiwa rakyat,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran.
Tegasnya lagi, langkah ini akan meletakkan Sabah sebagai sebuah wilayah yang progresif dalam menyesuaikan dunia pekerjaan dengan realiti moden dan inklusif.
Madius menyatakan sokongan penuh terhadap RUU tersebut, namun menyifatkan penambahbaikan melalui konsep cuti terapung itu akan menjadikan undang-undang berkenaan lebih “manusiawi” dan adil bagi seluruh lapisan rakyat Sabah.
