Isu dakwaan pembalakan haram di Sook

SANDAKAN: Jabatan Perhutanan Sabah ingin merujuk kepada laporan yang tular di platform digital berhubung dakwaan bahawa kayu balak dan jentera pembalakan bernilai puluhan juta ringgit yang dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan di daerah Sook  berkaitan dengan aktiviti pembalakan haram.

Sehubungan itu, Ketua Konservator Hutan Sabah Encik Zulkifli Suara menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Hasil siasatan menyeluruh mendapati  lokasi penyimpanan balak (stumping) di Batu 63, Jalan Nabawan–Sapulut adalah pusat pengumpulan sementara yang telah diluluskan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.

Kayu balak berkenaan adalah hasil pengeluaran daripada lesen sah Blok YK2/2023 (NFM) milik Yayasan Sabah (Rakyat Berjaya Sdn. Bhd). 

Operasi pembalakan di kawasan tersebut dilaksanakan selaras dengan prinsip Pengurusan Hutan Berkekalan (Sustainable Forest Management) dan menggunakan kaedah Reduced Impact Logging (RIL).

Siasatan lanjut turut mengesahkan bahawa semua kayu balak yang ditemui telah direkodkan dalam Borang CS (Check Scaling), iaitu dokumen rasmi kerajaan bagi tujuan pengiraan dan pembayaran royalti.

Pergerakan balak tersebut juga  menggunakan Transit Pass yang sah dan dikeluarkan oleh pegawai Jabatan Perhutanan Sabah.

Sebanyak 28 unit jentera pembalakan yang turut dirampas dalam operasi tersebut juga didapati berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Perhutanan Sabah yang mematuhi keperluan yang ditetapkan.

Walaubagaimanapun, siasatan oleh Jabatan Perhutanan Sabah mengesahkan berlaku ketidakpatuhan pentadbiran dalam pemindahan balak dari kawasan lesen melibatkan ketiadaan tanda tukul hak milik (property hammer mark) dan tanda tukul pemeriksaan oleh Jabatan Perhutanan Sabah. 

Kesalahan ini tidak ditakrif sebagai kesalahan pembalakan haram dan pelesen telah dikenakan denda dengan syarat lesen yang berkuatkuasa.

Ketua Konservator Hutan juga  menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan, terutamanya di media sosial, kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej pengurusan hutan negeri.

Jabatan Perhutanan akan terus komited dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan sumber hutan negeri dilindungi dan segala aktiviti pembalakan dilaksanakan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles