Loi Kok Liang Gesa Tindakan Lebih Proaktif Tangani Isu Pengemis Jalanan di Pusat Bandar

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri Api-Api, YB Loi Kok Liang, menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kehadiran individu yang sering dirujuk sebagai “Palauh” di kawasan pusat bandar, khususnya di Gaya Street, Kg Air, kawasan pelancongan, bank, restoran dan persimpangan utama.

Beliau berkata keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan peniaga kerana memberi kesan terhadap imej bandar serta keselesaan orang ramai dan pelancong.

Loi menjelaskan bahawa perkara ini pernah dibangkitkan dalam satu pertemuan antara pimpinan Warisan dan Jabatan Ketua Menteri berhubung isu peningkatan mendadak jumlah warga asing di Sabah secara keseluruhan. Perbincangan tersebut bukan hanya tertumpu kepada isu “Palauh”, tetapi melibatkan aspek pengurusan dan dasar yang lebih menyeluruh.

Menurut penjelasan pihak berkaitan dalam mesyuarat tersebut, pendekatan semasa adalah melalui mekanisme “menyelamat dan penempatan”. Individu yang dibawa keluar dari jalanan akan dihantar ke pusat perlindungan sementara untuk menjalani sesi kaunseling, latihan kemahiran serta proses pengesahan identiti. Tempoh penempatan adalah sekitar tiga bulan sebelum tindakan susulan ditentukan.

“Kerangka tindakan sudah ada. Yang penting sekarang ialah memastikan pelaksanaannya lebih konsisten dan berterusan,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa peningkatan semula kehadiran mereka di pusat bandar menunjukkan perlunya tindakan yang lebih proaktif dan kerap, khususnya di kawasan tumpuan pelancong dan perniagaan. Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta agensi berkaitan supaya memperkukuh penyelarasan dan meningkatkan kekerapan operasi.

“Sebagai wakil rakyat, saya tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan. Namun saya bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan suara rakyat terus disampaikan.”

Beliau turut menggalakkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

“Isu ini memerlukan pemantauan berterusan, penyelarasan yang lebih kukuh dan tindakan yang lebih tegas demi menjaga imej serta ketertiban bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles