KOTA KINABALU: Seramai enam pelajar opsyen Bahasa Kadazandusun Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent Tuaran menyertai Persidangan Pendidikan Orang Asal Malaysia Ke-3 (MIPCE-3)/di Borneo Native Village, Lok Kawi selama tiga hari bermula 12 Disember.
Rombongan pelajar terbabit diiringi oleh pembimbing Dr. Rosie Johnny.
MIPCE merupakan persidangan pendidikan yang menghimpunkan pendidik, penyelidik
dan pelajar institut perguruan serta wakil komuniti Orang Asal dari seluruh Malaysia.
Persidangan itu, antara lain, bertujuan membincangkan isu, cabaran serta hala tuju pendidikan masyarakat peribumi, khususnya pemeliharaan bahasa etnik, budaya serta
kearifan lokal dalam sistem pendidikan negara.
Sepanjang persidangan berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian, termasuk forum panel, bengkel pendidikan dan pembentangan draf resolusi persidangan pendidikan Orang Asal Malaysia ke-3.
Pada hari pertama, sesi forum panel telah dijalankan dan membincangkan pelbagai aspek pendidikan masyarakat peribumi dari sudut pandangan pihak belia, akademia dan para pendidik.
Pada hari kedua pula, pelajar telah menyertai bengkel yang pakaian tradisional dan motif yang dikendalikan oleh Tindarama Datuk Joanna Datuk Kitingan dan bengkel lagu Etnosonik sebagai Bahan Pengajaran Pendidikan Awal Kanak-kanak yang dikendalikan oleh puan Sylvia Poit.
Agenda utama pada hari ketiga berkisar kepada refleksi komuniti serta Pembentangan dan Pembacaan Ringkasan Eksekutif Nota Konsep IECE: Indigenous Early Childhood Education
(IECE) in the Malaysia Education Blueprints 2026 – 2030.
