Berhenti Main Sentimen, Jaga Tatatertib Berkempen — SPR Jangan Terus Berdiam Diri

Oleh Angie S Chin, Vote Wisely Project/CAMOS (Change Advocate Movement Sabah)

KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, suasana politik menjadi semakin hangat. 

Parti-parti politik pula kini giat berkempen di sana sini untuk meraih sokongan rakyat — namun dalam keghairahan itu, mereka perlu sentiasa ingat akan tanggungjawab besar yang datang bersama setiap ucapan yang disampaikan kepada Masyarakat semasa berkempen. 

Ingat, masyarakat bukan sahaja melihat, mereka mendengar, membuat andaian dan rumusan. Lebih-lebih lagi dizaman digital ini.

Kini, lebih daripada sebelumnya, para pemimpin mesti di ingatklan untuk menjauhi sebarang perkataan atau politik yang boleh memecahbelahkan kaum dan agama.

Sebarang ketersasulan boleh mengundang amarah dan salah faham yang sepatutnya boleh dielakkan. 

Malangnya, rambut sama hitam tapi hati lain-lain, bukan semua berpendapat positif atau berfikiran terbuka.

Sabah selama ini menjadi contoh terbaik keharmonian pelbagai kaum — sebuah negeri yang hidup dalam perpaduan dan bukan sekadar slogan. 

Menjadikan identiti kaum dan agama sebagai senjata politik bukan sahaja mencemarkan keharmonian, malah berisiko mengoyakkan fabrik sosial yang menyatukan rakyat Sabah selama ini. 

Lebih baik jika penggunaan perkataan dalam apa-apa ucapan itu lebih bersesuaian kepada pendekatan secara am tanpa menyebut apa-apa bangsa mahupun agama.

Menjelang hari pengundian, marilah kita mengingatkan semua parti politik: Rakyat Sabah berhak mendapat yang lebih baik. Kita perlukan pemimpin yang mampu menyatukan dan bukan yang menakut-nakutkan; yang menampilkan dasar dan visi, bukan prejudis; yang mengangkat rakyat, dan bukan memecahbelahkan mereka.

a) Krisis Senyap: Isu Undi Pos untuk Rakyat Sabah di Semenanjung dan Sarawak

Di sebalik kemeriahan berkempen, ada satu lagi isu penting yang masih tidak mendapat perhatian — iaitu ketiadaan sistem undi pos yang adil bagi rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Sudah bertahun-tahun rakyat Sabah bersuara tentang hal ini: kos perjalanan, kekangan masa dan cabaran logistik untuk pulang mengundi. Ramai tidak mampu berbuat demikian. Namun suara mereka — hak asasi mereka untuk memilih — terus diketepikan oleh pihak tertentu.

Kini, menjelang pilihan raya yang baru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tampak masih berdiam diri. Dan dalam isu seperti ini, diam bukanlah tanda neutral — diam adalah tanda mengabaikan hak perlembagaan.

Namun, masih belum terlambat. Dan memandangkan SPR masih lagi berdiam diri, saya mengambil inisiatif untuk mengemukakan beberapa Langkah-langkah praktikal yang boleh dilaksanakan segera. Terpulang kepada SPR untuk memperhalusi dan mempermudahkan cadangan-cadangan ini.

b) Langkah-langkah yang Boleh Diambil oleh SPR – sekarang!

Penambahan satu lagi kategori undi pos untuk rakyat Sabah di Semenanjung dan Sarawak bukanlah satu perkara yang mustahil atau susah. Apa yang diperlukan hanyalah kemahuan untuk bertindak.

Berikut beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh SPR dengan segera:

1. Wujudkan kategori baharu undi pos untuk rakyat Sabah yang menetap di luar negeri asal mereka. Setelah mendaftar, pengundi boleh mengambil atau menghantar kertas undi di pejabat SPR seluruh negara. Kaedah ini sama seperti proses undi pos yang sedia ada dan ini amat mudah dilaksanakan.

2. Gunakan rangkaian pejabat Pos Malaysia.

Kertas undi pun boleh dihantar atau diserahkan di cawangan Pos Malaysia terdekat — kaedah ini pun boleh di cuba. Penghantaran juga boleh dijejaki dan sudah tersedia infrastrukturnya.

3. Benarkan sukarelawan yang disahkan membawa balik kertas undi yang telah dimeterai, seperti yang dilakukan oleh rakyat Malaysia di luar negara semasa pilihan raya umum yang lalu. Inisiatif rakyat itu membuktikan dua perkara: rakyat Malaysia sangat menghargai hak mengundi — dan cabaran logistik boleh diatasi dengan kepercayaan serta koordinasi yang baik.

4. Rancang dan bangunkan sistem pengundian digital dalam tempoh lima tahun akan datang.

Walaupun tidak sempat dilaksanakan kali ini, SPR harus menjadikan pengundian digital sebagai agenda nasional seterusnya. Banyak negara lain telah berjaya melaksanakannya — Malaysia juga mampu.

Kita bukan mengundi setiap hari atau setiap minggu. Pilihan raya adalah saat penting dan suci dalam demokrasi. 

Mengapa tidak kita curahkan sedikit usaha dan inovasi untuk memastikan setiap warganegara dapat mengundi? Ini bukan isu keselesaan, tetapi isu keadilan.

c) Harapan kami untuk Sabah 

Dengan hari penamaan calon yang bakal berlangsung pada 15 November 2025, rakyat Sabah di seluruh negara masih lagi menunggu dan berharap agar SPR bersuara dan mengambil tindakan yang adil.

Jika permohonan rakyat Sabah ini masih lagi tiada perkembangan, ia bukan lagi kegagalan pentadbiran semata-mata — tetapi satu pelanggaran hak perlembagaan, yang menafikan lebih daripada 200,000 pengundi Sabah daripada peluang membina masa depan negeri mereka.

Rakyat Sabah terkenal dengan kesabaran dan ketabahan, tetapi kesabaran tidak boleh disalah tafsir sebagai kelemahan. Kami akan terus bersuara, terus mendesak, dan terus menuntut hak kita — hak untuk mengundi, di mana juga kita berada.

Semoga sebelum hari penamaan calon tiba, kami berharap akan menerima perkhabaran gembira daripada SPR — satu keputusan yang bukan sahaja memulihkan keyakinan terhadap sistem, tetapi juga membuktikan bahawa setiap undi rakyat Sabah itu benar-benar bermakna.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles