“Jangan Cepat Menghukum OKT” – Aktivis Sabah Ingatkan Prinsip ‘Innocent Until Proven Guilty’

TAWAU : Aktivis masyarakat di Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu cepat ‘menjatuhkan’ hukuman terhadap mana-mana individu yang ditahan atau disiasat oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zaki menegaskan bahawa dalam sistem perundangan Malaysia, setiap individu yang ditahan masih berstatus Orang Kena Tuduh (OKT) dan bukannya Orang Salah (OS) selagi kes mereka belum dibuktikan di mahkamah.

“Masyarakat harus menghormati ‘rule of law’ iaitu prinsip ‘innocent until proven guilty’. Apa yang berlaku sekarang, orang ramai seringkali terus menghukum di media sosial apabila melihat seseorang ditahan oleh pihak berkuasa seolah-olah individu yang ditahan sudah pasti bersalah. Ini satu persepsi yang salah dan bertentangan dengan prinsip undang-undang negara,” katanya.

Menurut Zaki, perbezaan antara OKT dan OS amat penting difahami oleh masyarakat agar tidak wujud kekeliruan.

“OKT merujuk kepada individu yang sedang dituduh atau disiasat tetapi belum disabitkan kesalahan, manakala OS ialah mereka yang telah dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

“Dalam undang-undang, prinsip ‘rule of law’ jelas menyatakan bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah atau ‘innocent until proven guilty’. Ini bermakna, walaupun seseorang ditahan, mereka masih mempunyai hak untuk membela diri dan ia tergunapakai kepada semua individu tanpa mengira status, latar belakang maupun fahaman politik” katanya.

Zaki turut menjelaskan bahawa penahanan oleh pihak berkuasa hanyalah permulaan kepada proses siasatan dan bukannya bukti kesalahan.

Selepas seseorang ditahan, pegawai penyiasat akan membuka Kertas Siasatan (KS) untuk mengumpul segala bukti, keterangan saksi dan laporan forensik berkaitan kes berkenaan.

“Kertas Siasatan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk semakan dan arahan lanjut. Jika TPR mendapati bukti belum mencukupi, siasatan akan dikembalikan kepada agensi penyiasat untuk dilengkapkan.

“Apabila siasatan dianggap lengkap dan terdapat bukti yang cukup, TPR akan memohon “Izin Mendakwa” daripada pihak Peguam Negara selaku Pendakwa Raya mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya selepas izin mendakwa diperoleh, barulah pendakwaan boleh dibuat di mahkamah, dan individu berkenaan secara rasmi menjadi Orang Kena Tuduh (OKT). Ini bermakna, pihak polis atau SPRM tidak melaksanakan pendakwaan terpilih kerana terikat dengan izin tuduh daripada pihak Peguam Negara.

“Justeru, orang ramai perlu faham bahawa proses keadilan mengambil masa dan perlu mengikut prosedur. Siasatan bukan hukuman, dan tidak semua yang disiasat akan didakwa. Jika didakwa sekalipun, individu tersebut bukanlah berstatus OS tetapi masih OKT,” jelasnya.

Zaki menambah, antara hak yang dimiliki oleh OKT ialah hak untuk mendapatkan peguam bela, hak untuk berdiam diri semasa siasatan, hak untuk mendapat layanan yang adil dan tidak dizalimi semasa dalam tahanan serta hak untuk diadili di mahkamah terbuka berdasarkan bukti dan saksi.

Tambahnya lagi, tindakan segelintir netizen yang menularkan gambar atau menulis kenyataan menghina OKT di media sosial boleh membawa kesan buruk, termasuk mencemar imej dan maruah individu serta keluarga mereka.

“Kita perlu berhati-hati dengan komen di media sosial. Jangan jadi hakim sebelum hakim yang sebenar membuat keputusan. Undang-undang wujud untuk memastikan keadilan ditegakkan, bukan untuk menghukum berdasarkan persepsi. Bayangkan jika OKT tersebut didapati tidak bersalah iaitu dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah, siapakah yang akan memulihkan imejnya?” katanya lagi.

Zaki turut menyeru pihak media dan pengguna media sosial agar memainkan peranan dalam mendidik masyarakat tentang hak serta proses keadilan agar tidak berlaku ‘perbicaraan di luar mahkamah’ yang boleh menjejaskan prinsip keadilan sebenar.

“Tugas polis dan SPRM ialah menyiasat, tugas mahkamah ialah mengadili. Masyarakat pula perlu menjadi penilai yang matang dan bukan penghukum di alam maya,” katanya lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles