Berbillion Diumumkan, Tetapi Ke Mana Duit Itu Pergi? — Peruntukan Persekutuan Mesti Disalurkan Melalui Kumpulan Wang Disatukan Sabah

Oleh Daniel John Jambun, Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo)

KOTA KINABALU — Borneo Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo) hari ini berkata bahawa dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM13–17 bilion setiap tahun untuk Sabah menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan, akauntabiliti fiskal, serta hasil sebenar di peringkat rakyat.

BoPiMaFo berkata bahawa walaupun angka tersebut kedengaran besar, sangat sedikit daripada wang itu benar-benar masuk ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Negeri Sabah. Sebaliknya, sebahagian besar peruntukan dibelanjakan secara langsung oleh kementerian dan agensi Persekutuan, sekali gus mengabaikan kawalan serta semakan oleh Kerajaan Negeri.

 “Ini bermakna Sabah tiada kuasa sebenar menentukan bagaimana berbilion ringgit itu dibelanjakan. Ia direkod sebagai ‘perbelanjaan Persekutuan di Sabah’ tetapi bukan ‘perkongsian hasil dengan Sabah’. Itu perbezaan yang sangat penting,” kata BoPiMaFo.

BoPiMaFo turut menegaskan bahawa peruntukan pembangunan Persekutuan untuk Sabah jarang sekali dibelanjakan sepenuhnya.

Berdasarkan laporan berulang oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), secara purata hanya sekitar 60% peruntukan tersebut digunakan, manakala baki 40% dipulangkan semula ke perbendaharaan Persekutuan pada akhir tahun kewangan.

 “Ini masalah kronik — setiap tahun berbilion diumumkan tetapi tidak sampai ke rakyat. Projek lewat, dana dibekukan, dan yang tidak dibelanjakan diserap semula secara senyap ke dalam sistem Persekutuan,” tegas BoPiMaFo.

Walaupun angka besar diumumkan, Sabah masih bergelut dengan sekolah daif, fasiliti kesihatan serba kekurangan, bekalan air tidak stabil, dan jalan raya rosak.

Negeri ini masih mencatat kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia iaitu 25.3% pada tahun 2020 menurut Jabatan Perangkaan — angka yang membuktikan bahawa “berbillion-bilion” itu tidak mengubah realiti hidup rakyat.

 “Jika RM13–17 bilion benar-benar dibelanjakan secara berkesan, Sabah tidak sepatutnya terus terperangkap dengan infrastruktur dunia ketiga selepas 60 tahun dalam Malaysia,” kata BoPiMaFo lagi.

BoPiMaFo menegaskan bahawa peruntukan pembangunan tidak boleh menggantikan hak Sabah terhadap 40% hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah, yang mesti dimasukkan terus ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Negeri seperti yang dijamin di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

 “Kerajaan Persekutuan tidak boleh terus menjadikan projek pembangunan sebagai kosmetik politik sambil mengabaikan kewajipan Perlembagaan. Kesamarataan sebenar di bawah MA63 bermaksud kuasa fiskal — bukan belas ihsan Persekutuan,” katanya.

BoPiMaFo juga menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak 40% adalah jelas: Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menjalankan semakan kewangan berkala dan memulangkan bahagian hasil bersih yang sepatutnya milik Sabah.

 “Ini bukan soal ihsan atau politik — ini soal keadilan Perlembagaan,” tegas BoPiMaFo.

Sebagai penutup, BoPiMaFo mengingatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri:

 “Rakyat Sabah tidak lagi kagum dengan angka berbillion dalam tajuk berita. Kami mahu pelaksanaan, bukan gimik. Hentikan permainan angka dan tunaikan hak Perlembagaan kami. Setiap sen milik Sabah mesti masuk melalui Kumpulan Wang Disatukan Negeri — bukan melalui agensi Persekutuan dan proksi politik.”

 “Sehingga Putrajaya memulangkan kuasa fiskal sepenuhnya dan menghormati hak 40% itu, janji ‘pembangunan untuk Sabah’ tidak lebih daripada ilusi yang diulang setiap pilihan raya,” ujar BoPiMaFo.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles