TUARAN: Cadangan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian pada hari beribadah, mendapat sokongan pelbagai pihak yang menyifatkan langkah itu sejajar dengan prinsip pertama Rukun Negara, Kepercayaan kepada Tuhan.
Madius sebelum ini dilaporkan menyeru SPR agar lebih sensitif terhadap kepelbagaian agama di Malaysia dengan memastikan tarikh penting pilihan raya tidak bertembung dengan hari ibadah utama seperti Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Seorang usahawan muda, Cornelius Gukod, berkata cadangan tersebut menunjukkan keprihatinan terhadap kepentingan rakyat beragama dalam menjalankan tanggungjawab kenegaraan.
“Hari ibadah seharusnya dihormati kerana ia mempunyai makna mendalam bagi penganut setiap agama. Menetapkan tarikh pilihan raya pada hari biasa seperti Isnin hingga Khamis lebih sesuai dan tidak menimbulkan kekangan kepada pengundi,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Pemimpin komuniti Kampung Tomis Baru Kiulu, Irene Sompun, pula berkata kepekaan terhadap jadual ibadah rakyat menzahirkan semangat toleransi yang menjadi asas perpaduan negara.
“Keseimbangan antara hak beribadah dan tanggungjawab mengundi penting dijaga. Cadangan ini bukan sahaja wajar tetapi memperkukuh kefahaman terhadap prinsip Rukun Negara,” katanya yang juga.
Bagi seorang aktivis masyarakat, Ruth Yapp, pelaksanaan pilihan raya pada hari biasa bukan perkara baharu memandangkan beberapa pilihan raya sebelum ini pernah diadakan pada hari bekerja dan tetap mendapat sambutan tinggi.
“Sebagai contoh, Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan pada hari Rabu dan berlangsung dengan lancar. Jadi, tiada halangan besar untuk meneruskan pendekatan yang sama.
“Dan cadangan saya lebih baik diadakan pada hari Isnin supaya perjalanan pulang ke kampung halaman boleh bermula selepas hari bekerja (Jumaat).
“Bagi mereka yang membelanjakan duit yang banyak untuk tiket penerbangan, sekurang-kurangnya mereka boleh menziarahi keluarga pada hujung minggu dan beribadah bersama-sama sebelum menunaikan kewajipan pada hari Isnin,” katanya yang juga merupakan pengasas Zero Waste Sabah.
Terdahulu, dalam kenyataannya, Madius turut memaklumkan bahawa hari Jumaat merupakan hari beribadah bagi umat Islam; hari Sabtu pula adalah hari ibadah bagi penganut Seventh-Day Adventist dan True Jesus Church; manakala hari Ahad menjadi hari ibadah bagi penganut Kristian lain termasuk Roman Catholic dan Protestan.