Pendidikan kunci keluar dari kemiskinan – George

SANDAKAN: Seramai 25 pelajar cemerlang yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi menerima insentif pendidikan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, hari ini.

George berkata, pemberian insentif itu merupakan salah satu komitmen beliau untuk menyokong pembangunan modal insan di kawasan ini dan telah dilaksanakan tanpa gagal setiap tahun sejak beliau dipilih sebagai wakil rakyat.

“Pendidikan merupakan kunci utama untuk mengubah masa depan sesebuah keluarga. Dengan ilmu, kita bukan sahaja dapat keluar daripada belenggu kemiskinan, malah mampu membina kehidupan yang lebih baik serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pelaburan dalam pendidikan bukan sekadar memberi peluang kepada pelajar untuk berjaya secara individu, tetapi turut membuka ruang kepada mereka untuk kembali dan menyumbang kepada kemajuan Karamunting pada masa hadapan.

“Saya berharap apabila mereka tamat pengajian nanti, mereka akan pulang dan menyumbangkan ilmu serta kepakaran yang dimiliki untuk membangunkan kawasan ini. Karamunting memerlukan tenaga muda yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi meneruskan kesinambungan pembangunan,” katanya lagi.

Menurutnya, pemberian insentif ini juga merupakan satu tanda galakan dan doa agar semua penerima terus berjaya dalam pengajian masing-masing serta menjadi kebanggaan keluarga dan masyarakat.

George turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan pelajar, dan mengingatkan para penerima agar tidak berputus asa dalam mengejar impian walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles