SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir menegaskan bahawa kesihatan anggota keselamatan merupakan antara kunci kekuatan pertahanan negara, khususnya di kawasan strategik seperti Pantai Timur Sabah yang sering berdepan cabaran keselamatan.
Menurut beliau, kebajikan dan kesihatan anggota keselamatan perlu diberikan perhatian serius, memandangkan mereka bertugas dalam persekitaran yang mencabar dan sering menjadi barisan hadapan dalam menjaga kedaulatan negara.
Suhaimi berkata demikian semasa melakukan tinjauan ke Klinik Perubatan 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, selepas menerima jemputan rasmi daripada pihak pengurusan kem berkenaan.
Hadir sama, Pegawai Memerintah Batalion Batalion 22 RAMD Kem Sri Kinabatangan, Lt. Kol Mohd Idris Odding, Pegawai Klinik Perubatan 22 RAMD Kem Sri Kinabatangan Kapten Dr Sarveen A/L Vasu dan pegawi-pegawai kanan.
“Lawatan ini membuka ruang untuk saya melihat sendiri keperluan semasa, cabaran logistik dan operasi yang dihadapi oleh petugas perubatan serta anggota tentera. Kita perlu pastikan mereka diberikan kemudahan kesihatan yang mencukupi dan berkualiti,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Libaran itu turut menyatakan komitmen untuk menyuarakan sebarang keperluan berkaitan fasiliti dan kebajikan pasukan keselamatan kepada pihak kementerian dan agensi yang berkaitan, demi menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara.
Tambahnya lagi, kerajaan harus terus memberikan perhatian kepada pembangunan infrastruktur dan prasarana kesihatan di kem-kem tentera, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar seperti Sandakan dan Lahad Datu yang menjadi benteng utama keselamatan negara.
Suhaimi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga 22 RAMD atas dedikasi dan pengorbanan mereka, serta menegaskan bahawa sokongan rakyat terhadap pasukan keselamatan adalah asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara.