KOTA MARUDU: Usahawan-usahawan tamu mingguan yang kebanyakannya terdiri ibu-ibu di Kg Tagaroh kini dapat mengadakan tamu mingguan di tempat yang lebih selesa selepas premis Tamu Desa siap dibina sepenuhnya.
Premis Tamu Desa tersebut dibina melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebanyak RM200,000 merupakan salah satu daripada 94 premis yang dibina pada tahun lepas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meluangkan masa meninjau hasil pelaksanaan tersebut serta menyantuni ibu-ibu yang mengambil peluang menjual pelbagai jenis produk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan dan minuman.
Beliau turut menyatakan sokongan dan motivasi kepada ibu-ibu yang berjualan di premis ini pada tamu mingguan setiap hari Rabu.
“Saya juga anak seorang ibu tunggal yang berjualan sayur-sayuran di gerai tepi jalan, menjual biji kopi di tamu dan menjual kuih-muih setiap hari Ahad semasa kecil. Pada masa itu, kemudahan gerai dibina sendiri dengan menggunakan kayu bulat, lantai bambu dan sebagainya yang setakat ada.
“Itulah sebabnya saya cetuskan projek premis Tamu Desa di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara di KUSKOP kerana mahu menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada ibu-ibu di luar bandar yang berjualan di tamu mingguan serta menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan khusus di Sabah dan Sarawak yang mempunyai tradisi tamu sehari setiap minggu,” katanya.
Ewon turut menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih sebanyak RM5,000 kepada jawatankuasa pentadbir Tamu Desa bagi membelk kelengkapan tambahan seperti meja jualan dan kerusi kepada ibu-ibu yang menjual di premis ini.
Sementara itu para peniaga Tamu Desa KgTagaroh yang ditemui menyatakan pembinaan bangunan Tamu Desa itu memberi sinar baharu kepada mereka yang sebelum ini hanya menjalankan perniagaan menggunakan payung dan kanopi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Tagaroh, Ridjoe Galanang berkata, premis Tamu Desa itu bukan sahaja memberi manfaat kepada 25 peniaga tamu yang aktif di kampung itu tetapi juga menyediakan tempat yang lebih selesa kepada para pengunjung.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Madani melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diterajui oleh Menterinya Datuk Ewon Benedick kerana memberikan peruntukan untuk membina premis Tamu Desa di kampung ini.
“Dulu kami hanya berniaga menggunakan payung dan kanopi, tetapi kini kami ada bangunan yang lebih selesa dan memberi keistimewaan kepada para peniaga,” katanya.
Ridjoe berkata, Tamu desa di kampung tersebut diadakan setiap hari Rabu, melibatkan pelbagai jenis jualan termasuk hasil pertanian, produk tempatan, barangan terpakai dan lain-lain.
“Ia bukan sahaja membuka peluang kepada peniaga, malah menjadi platform memasarkan hasil-hasil pertanian penduduk kampung sendiri,” katanya.
Seorang lagi usahawan tempatan, Rasli Kamarudin, turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif ini.
“Terima kasih kepada Kerajaan Madani kerana memberikan peluang kepada usahawan-usahawan kampung ini memasarkan produk mereka di premis Tamu Desa yang lebih selesa.
“Kami sangat bersyukur kerana di bawah kepimpinan Datuk Ewon Benedick, kami di Kampung Tagaroh juga turut merasai pembangunan yang bermakna ini.
“Saya berharap projek ini diteruskan dan diperluaskan ke kampung-kampung lain yang memerlukan,” katanya.
Rasli berkata, projek seperti ini mampu menjadi pemangkin semangat kepada para usahawan luar bandar, khususnya di Sabah.