Pemergian ACP Jasmin Hussin satu kehilangan besar, sukar diganti – PPDJS

TAWAU: Pemergian mengejut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, 53 tahun pada awal pagi tadi disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, beliau amat terkejut menerima berita pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang pegawai polis yang komited, mesra masyarakat dan sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak.

Menurutnya, sepanjang mengenali Allahyarham, ACP Jasmin banyak membantu PPDJS sama ada dalam memberikan khidmat nasihat berkaitan pencegahan jenayah dan dadah mahupun menjayakan pelbagai program kesedaran yang dianjurkan pertubuhan itu.

“Secara peribadi, saya memang mengenali Allahyarham kerana saya adalah bekas pegawai kanan polis yang menyertai PDRM hampir sezaman dengannya. Malah, kami antara anak Sabah yang pernah bertugas di Semenanjung Malaysia dahulu. 

“Secara jujur, saya sememangnya amat terkejut dengan berita pemergian Allahyarham. Ini adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada PDRM tetapi juga kepada masyarakat dan NGO yang pernah bekerjasama dengan beliau.

“Allahyarham seorang pegawai yang sangat komited terhadap tugas, sentiasa memberi pandangan dan nasihat yang membina serta tidak pernah menolak untuk membantu menjayakan program-program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Zaki berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham dalam memperkukuhkan hubungan antara pihak polis dan masyarakat akan sentiasa dikenang.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat itu.

“Saya mewakili seluruh warga PPDJS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga mereka tabah dan reda menghadapi ketentuan Ilahi.

“Kami juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles