Ewon lancarkan Projek Penanaman Jagung Bijian Koperasi di Kota Marudu, usaha ke arah keterjaminan makanan

KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick hari ini melancarkan Projek Penanaman Jagung Bijian yang diusahakan oleh Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad di Kampung Mosolog, di sini.

Beliau berkata, projek ini merupakan satu inisiatif strategik ke arah keterjaminan makanan negara dan peningkatan ekonomi luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

“Pelaksanaan fasa pertama melibatkan kawasan seluas 150 ekar, dengan sasaran untuk mencapai 5,000 ekar menjelang tahun 2030 melibatkan pelaburan sebanyak RM25 juta sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan upacara Pecah Tanah Projek Penanaman Jagung Bijian Koperasi di Marudu Inn, di sini, hari ini.

Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad, yang ditubuhkan pada tahun 2009, sebelum ini bergiat aktif dalam sektor perkhidmatan kredit dan pinjaman, Ar-Rahnu, peruncitan, pertanian dan perladangan.

Projek jagung bijian ini dijalankan dengan kerjasama syarikat strategik, Emat Sdn Bhd, yang membawa masuk kepakaran dan teknologi berimpak tinggi dari luar negara bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya.

Ewon berkata, kerajaan Madani melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyokong lenuh inisiatif ini.

“Saya yakin ianya bukan hanya menyumbang kepada bekalan makanan dalam negara tetapi juga kepada aktiviti ekonomi tempatan khususnya di daerah Kota Marudu yang selama ini sering disebut antara daerah termiskin di negara ini,” katanya.

Katanya lagi, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan dana Tabung Modal Pusingan sebanyak RM100 juta bagi perusahaan koperasi dalam sektor agro-makanan.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad, khususnya mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin yang mengetuai koperasi tersebut, atas komitmen dan inisiatif menjayakan projek ini.

“Saya berharap ini akan menjadi model pembangunan koperasi berasaskan agro-makanan yang mampu menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri dan keterjaminan makanan negara secara keseluruhan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles