TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) kini giat melaksanakan usaha meremajakan parti dengan mengaktifkan proses mengumpul golongan muda menerusi Gerakan Belia Beliawanis Bersatu (GBBB) di seluruh Sabah.
Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, hari ini, telah ditubuhkan GBBB Tamparuli yang menyaksikan gabungan Pemuda dan Wanita, dalam usaha menarik lebih ramai ahli dalam kalangan belia di kawasan itu.
Pengerusi bersama GBBB Tamparuli yang juga Ketua Exco Pergerakan Wanita PBS, Datin Malianah Ugau, berkata, gerakan itu dibuat bagi menyahut saranan Presiden, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili untuk melatih dan merekrut lebih ramai pemimpin muda sebagai peneraju parti itu pada masa akan datang.
“Ini yang dipanggil ‘meremajakan’ parti, iaitu mencari, mengumpul dan melatih lebih ramai Pemuda dan Wanita remaja belia sama ada ahli baharu atau lama,” katanya.
Menurut Malianah, inisiatif itu sebenarnya sudah lama dirancang PBS tetapi belum terlaksana sepenuhnya di peringkat Bahagian.
“Hari ini kita aktifkan gerakan ini bagi memastikan setiap belia dan beliawanis Sabah amnya dan di Tamparuli khususnya, berpeluang menjadi sebahagian daripada pencorak masa depan negara,”.
Tambahnya, transformasi itu penting bagi memastikan PBS terus relevan dalam kalangan Gen Y agar terdapat gandingan baharu dan lama dalam parti demi keampuhan dan perpaduan parti itu.
Malianah, yang juga Ketua Pergerakan Wanita PBS Bahagian Tamparuli, mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang diberi oleh Presiden PBS, selaku Penasihat GBBB dan Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS, yang juga Pengerusi Bersama GBBB, Christopher Mandut.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian Tamparuli, Boe Sindolun, berkata, golongan muda perlu diberi ruang menjadi pemain penting dalam pembangunan, politik serta ekonomi di Sabah khususnya di kawasan Tamparuli.
“Kita perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin parti, sama ada di akar umbi mahu pun di peringkat tertinggi sejajar dengan situasi perubahan politik semasa, bagi meneruskan kesinambungan PBS agar terus berkembang dan segar sebagai sebuah parti yang terus relevan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Jelas Boe, meremajakan parti bukanlah bermaksud menderhaka kepada golongan lebih berpengalaman dalam parti, tetapi semata-mata untuk mencari lebih ramai pemimpin pelapis sama di peringkat Cawangan, Bahagian dan Pusat kelak.
“Keupayaan anak-anak muda ini tidak perlu menjadi ‘ancaman’ kepada kepimpinan sedia ada, sebaliknya dilihat sebagai jaminan kepada kesegaran parti, agar seiring dengan realiti dan kemahuan zaman sekarang, hakikatnya, ‘patah tumbuh hilang berganti’ perlu kita terima pakai,” ujar Boe.
Sebagai permulaan, jawatankuasa tersebut telah mengenal pasti sebanyak 23 cawangan di sekitar 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi tujuan penubuhan GBBB, di mana sejumlah 15 orang ahli berumur antara 18-30 tahun diperlukan bagi melayakkan penubuhan GBBB di peringkat cawangan.
Hadir sama mewakili Exco Pergerakan Pemuda PBS, memberikan sokongan penubuhan GBBB Tamparuli ialah Timbalan Setiausaha Exco Pemuda PBS Pusat, Melon Yaming.
Selepas mesyuarat, diadakan majlis berbuka puasa di samping meraikan penubuhan GBBB Tamparuli, bersama Adun Tamparuli yang juga Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim di D’Roof Top Cafe.