KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Redonah Bahanda yakin pembentangan Belanjawan Sabah 2025 pada Jumaat lepas adalah belanjawan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Kata beliau, ia (belanjawan) bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan Sabah tetapi juga menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meletakkan rakyat sebagai keutamaan demi kemakmuran semua.
Tidak dinafikan lagi Belanjawan Sabah 2025 dengan tema ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ adalah belanjawan yang terbaik kerana bukan sahaja meliputi aspek pembangunan, kebajikan, ekonomi dan sosial tetapi jauh lebih inklusif.
“Pasti ramai yang mengukir senyuman pada Jumaat lepas apabila Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun membentangkan dan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000 kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sabah termasuklah yang berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian yang akan dinikmati pada bulan Januari 2025.
“Namun, bukan hanya golongan penjawat awam sahaja akan menikmati manfaat belanjawan yang dibentangkan, tetapi semua lapisan masyarakat tanpa mengenal latar belakang, jantina, agama, usia dan lain-lain, ” katanya.
Mengulas lanjut, Redonah berkata golongan wanita juga sudah pasti antara golongan yang tidak pernah dilupakan dan menjadi ‘prioriti’ (keutamaan) di bawah kepimpinan Hajiji.
“Ini menunjukkan kesungguhan beliau untuk menunaikan janji agar 30 peratus wanita terlibat dalam pembuatan keputusan diperingkat tertinggi di Negeri Sabah.
“Pada Belanjawan Sabah 2025, peruntukan sebanyak RM9.73 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) untuk perbelanjaan operasi serta pelaksanaan pelbagai program bagi membangun, memperkasa dan melahirkan pemimpin wanita yang berwibawa.
“Jumlah ini jauh lebih besar berbanding Belanjawan 2024 iaitu sebanyak RM6.27 juta dan RM5.83 juta pada Belanjawan 2023. Inilah bukti besar di bawah pimpinan Hajiji dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang komited mengangkat martabat wanita.
“Begitu juga dengan peruntukan-peruntukan lain yang dibentangkan pada Belanjawan 2025. Kaum Wanita dan perniagaan terutama IKS berpisah tiada.
“Melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) diperuntukkan sebanyak RM11.6 juta untuk meneruskan Program Kredit Mikro kepada peniaga IKS khususnya golongan Wanita bagi membantu golongan berpendapatan rendah agar dapat menjana pendapatan keluarga melalui perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan.
“Pengorbanan dan semangat kaum isteri untuk meringankan beban suami dan menyara keluarga ramai kaum hawa ini membuka gerai-gerai jualan di tepi jalan, tepi bangunan dan pasar-pasar malam dengan menjual kuih muih, nasi lemak, goreng pisang, air balang dan lain-lain.
“Buat julung kali dalam sejarah Belanjawan Negeri Sabah ini, nasib peniaga-peniaga tepi jalan yang banyak dipelopori oleh kaum Hawa juga ini dibela dengan pemberian insentif sebanyak RM5,000 secara ‘one-off’ kepada yang mempunyai lesen yang sah, ” katanya.
Selain itu katanya, generasi muda wanita juga turut mendapat manfaat dalam Belanjawan Sabah 2025 iaitu pemberian pinjaman mikro dengan kadar faedah yang rendah menerusi projek perintis Program Keusahawanan Wanita Muda.
“Dalam belanjawan ini pelbagai golongan di beri perhatian terutama golongan rentan agar mereka juga mampu seiring dengan pembangunan ekonomi Sabah. Semoga Belanjawan Sabah 2025 akan diluluskan sepenuhnya demi memastikan Sabah terus mencapai kemakmuran dan rakyat Sabah dapat hidup dengan sejahtera, ” katanya.