PIBG main peranan penting pantau kemajuan dan keciciran pelajar

KOTA BELUD: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan yang semakin kritikal dalam usaha memantau kadar keciciran serta kemajuan akademik pelajar di sekolah-sekolah seluruh negara.

ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata dengan mengambil kira cabaran yang semakin kompleks dalam pendidikan, penglibatan PIBG adalah kunci kepada usaha bersama untuk memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan yang terbaik.

Menurutnya PIBG kini lebih proaktif dalam mengesan awal pelajar yang berisiko untuk tercicir dari sekolah melalui kerjasama rapat dengan pihak sekolah dalam memantau kehadiran pelajar.

“Melalui hubungan kuat dengan komuniti setempat, PIBG berupaya menjalin komunikasi yang lebih efektif dengan keluarga yang memerlukan bantuan atau yang anak-anak mereka menunjukkan tanda-tanda keciciran,” katanya.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika berucap pada Najlis Karnival dan Majlis Apresiasi PIBG Tahun 2024 Daerah Kot Belud di Dewan SK Pekan, dekat sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata PIBG turut berperanan besar dalam menyokong kemajuan pelajar melalui pelbagai inisiatif seperti komunikasi berkala antara ibu bapa dan guru, program sukarelawan yang melibatkan komuniti, serta usaha mengumpul dana bagi menyediakan sumber tambahan untuk menyokong pembelajaran.

Dalam usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih inklusif dan positif, Salleh berkata PIBG bekerjasama dengan kakitangan sekolah untuk mempromosikan inisiatif yang menggalakkan kesejahteraan mental dan fizikal pelajar, serta melibatkan ibu bapa secara lebih aktif dalam pendidikan anak-anak mereka.

“PIBG juga memainkan peranan dalam pengumpulan dan analisis data untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh pelajar dan keluarga mereka.

“Data ini penting untuk menyesuaikan program dan intervensi yang lebih berkesan, sekali gus memastikan tiada pelajar yang tercicir dari sistem pendidikan,” katanya.

Melalui usaha-usaha ini, katanya PIBG bukan sahaja membantu mengurangkan kadar keciciran, tetapi juga memastikan kemajuan pelajar dalam akademik terus dipantau dan disokong.

“Dengan penglibatan yang aktif dan kolaboratif, PIBG dapat memberikan impak yang signifikan terhadap pencapaian pendidikan negara,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles