KOTA KINABALU: Ketua UMNO Putatan Jeffery Nor Mohamed menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berhubung isu pembatalan sebahagian projek-projek d bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk negeri Sabah sebagai mengelirukan.
Beliau berkata kekeliruan itu timbul apabila kebanyakan projek yang dibatalkan adalah projek baharu dan telah diluluskan dibatalkan atau yang dikatakan ditangguhkan.
“Bagi saya, saya bersetuju dengan kenyataan YAB Menteri KKDW bahawa KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan KSU (Ketua Setiausaha) KKDW mesti duduk bersama untuk membuat penerangan secara jelas isu ini kepada ahli-ahli Parlimen supaya penjelasan yang benar dapat dimaklumkan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffery berkata keutamaan projek-projek di Sabah mesti menjadi keutamaan kerajaan Persekutuan.
Katanya ini kerana jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Sabah masih ketinggalan dalam isu-isu infrastruktur.
“Apa pun cara untuk membayar projek-projek ini dilaksanakan dan untuk kepentingan rakyat adalah tanggungjawab kerajaan.
“Sebagai rakyat Sabah kami perlukan penjelasan yang benar dan berfakta,” kata Jeffery
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dipetik sebagai berkata bahawa dakwaan kononnya kerajaan MADANI membatalkan atau memotong peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak, adalah tidak benar.
Menurut Mustapha dakwaan itu tidak berasas dan wajar disertai dengan bukti yang jelas jika ada pihak beranggapan projek terbabit dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan.
