SEMPORNA: Kerajaan Sabah merancang untuk mencari beberapa kawasan tanah untuk dijadikan sebagai pusat perpindahan masyarakat setinggan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata perkara itu telah dibincangkan dalam kabinet negeri dan, berharap nasib mereka terbela pada masa hadapan.
“Setinggan ini statusnya ada yang orang tempatan dan ada yang ‘bukan’. Ini juga menjadi masalah kepada kerajaan bagi menentukan status sebenar mereka.
“Bagaimanapun, kalau masalah ini tidak diurus awal ia akan menjadi masalah. Sebab itu kita merancang untuk memindahkan mereka secara teratur,” katanya kepada pemberita selepas meninjau mangsa kebakaran di Kampung Simunul dekat sini hari ini.
Bung berkata perkampungan setinggan Simunul terlibat dengan perpindahan ke Projek Perumahan Bubul, Semporna.
“Ini adalah berita baik sebab saya lihat keadaan di situ memang tidak sesuai daripada segi keselamatan.
“Di Sabah banyak kawasan perumahan yang berstatus setinggan. Mula-mula 10 rumah….menjadi 20, 200 dan menjadi 2,000 rumah. Dan apabila berlaku malapetaka misalnya kebakaran, satu kampung akan terlibat,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan Kampung Simunul, Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata kerajaan berhasrat untuk membina jeti nelayan di kawasan perkampungan itu.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak ada pembinaan baru setinggan yang dibenarkan di kampung Simunul pada masa depan.
Mengenai para nelayan yang terlibat dengan perpindahan penempatan itu, Bung berkata beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat kabinet negeri yang datang.