KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa tiada keperluan untuk negeri Sabah meniru apa yang dilakukan oleh negeri jiran Sarawak.
Beliau berkata ini kerana ia mencerminkan kepimpinan Sabah yang tandus dengan idea dan identiti.
Bung berkata ia juga mencerminkan kerajaan Sabah lemah dalam mengenalpasti prioriti untuk membangun negeri ini dan memastikan hak-hak Sabah dalam perjanjian terus terpulihara.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung cadangan untuk menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier, sebagaimana dilakukan oleh Sarawak.
Bung berkata perkara itu perlu dilihat dari sudut Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.
“Mengubah gelaran kepada Premier atau Perdana Menteri sekalipun tidak akan mengubah sifat autonomi Sabah yang tersurat dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Dalam Bahagian III Perkara 5 Perjanjian Malaysia 1963, yang dipersetujui bersama oleh wakil-wakil dari Sabah menyebut:
“Chief Minister” and “Mentri Besar” both mean the president, by whatever style known, of the Executive Council in a State (and in particular “Chief Minister” includes the Prime Minister in Singapore),” katanya.
Menurut beliau, perkara itu telah dimasukkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:
“Ketua Menteri” dan “Menteri Besar” kedua-duanya bererti yang dipertua, tidak kira dengan gelaran apa jua dia dikenali, Majlis Mesyuarat Kerajaan di dalam sesuatu Negeri;*,” katanya.
Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah turut mengingatkan kerajaan GRS tentang implikasi terhadap proses pematuhan MA63 jika Kerajaan Negeri mengubah perlembagaan sewenang-wenangnya ketika Sabah sedang berunding tentang interpretasi Perkara 112D berkaitan pemberian khas 40%.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu bersama-sama patuh dan hormat MA63, dan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.
“Sekiranya kita ingin mendapatkan pengiktirafan sebagai ‘rakan kongsi’, lebih baik meminta agar takrifan “Gabenor” yang dipotong oleh Akta A354, seksyen 41, pada tahun 1976 dikembalikan. Takrif asalnya ialah seperti berikut:
“Gabenor” bermaksud Ketua Negeri, tidak kira dengan gelaran apa jua yang digunakan, di sesuatu Negeri yang tidak mempunyai Raja (dan khususnya termasuklah Yang di-Pertua Negara Sabah, dan Yang di-Pertuan Negara Singapura),” katany Bung.