Oleh JG
KOTA MARUDU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P.168 Kota Marudu mencadangkan supaya parti itu diberi peluang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, berlandaskan prinsip perkongsian kuasa yang adil dalam gabungan berkenaan.
Cadangan itu merupakan antara resolusi yang dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Bahagian PGRS P.168 Kota Marudu yang dipengerusikan Ketua Bahagian, Sarapin Magana, pada Ahad.
Mesyuarat menegaskan bahawa pembahagian kerusi dan peluang perwakilan dalam GRS perlu mengambil kira kedudukan serta sumbangan setiap parti komponen, bagi memastikan prinsip perkongsian kuasa dapat dilaksanakan secara seimbang dan menyeluruh.
Menurut resolusi itu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek dan Matunggong ketika ini masing-masing diwakili wakil daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), manakala DUN Bandau diwakili seorang wakil bebas.
Keadaan itu, menimbulkan persoalan mengenai ruang perwakilan PGRS di kawasan Parlimen Kota Marudu, memandangkan parti itu belum mempunyai wakil di ketiga-tiga kerusi DUN berkenaan mahupun di peringkat Parlimen.
Sehubungan itu, pemberian peluang kepada PGRS untuk bertanding di kerusi Parlimen P.168 Kota Marudu pada PRU akan datang merupakan antara langkah yang boleh dipertimbangkan bagi merealisasikan perkongsian kuasa yang lebih seimbang dalam GRS.
Resolusi berkenaan turut menegaskan bahawa kerusi Parlimen Kota Marudu tidak seharusnya dianggap secara automatik sebagai milik mana-mana parti komponen tertentu, sebaliknya perlu dibincangkan dan diputuskan melalui proses rundingan yang adil dalam kalangan kepimpinan gabungan.
Mesyuarat berharap cadangan itu dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kepimpinan tertinggi GRS, dengan mengambil kira kepentingan pengukuhan parti, keseimbangan perwakilan serta semangat kerjasama antara parti komponen.
Selain resolusi berkaitan kerusi Parlimen, mesyuarat turut membincangkan penyelarasan penubuhan cawangan PGRS bagi memastikan pengembangan organisasi parti dilaksanakan secara sistematik dan tersusun.
Penyelarasan itu penting bagi memperkukuh struktur kepimpinan di peringkat akar umbi, memperkemas gerak kerja organisasi serta memastikan setiap cawangan dapat berfungsi secara berkesan.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Ketua Bahagian, Dato Dr Janatan Kandok; Naib Ketua Bahagian, Mohamad Isahak Awang; Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Redonah Bahanda; Ketua Pemuda, Datu Muhd Farid Liman; Ketua Beliawanis, Halijah Haris; Ketua Penerangan, Jeson Majimal serta ahli-ahli jawatankuasa bahagian.
