Peranan aktif PIBG kunci kecemerlangan pendidikan

KOTA KINABALU Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Frasa ini membawa maksud segala-galanya yang dikehendaki atau diperlukan sudah pun diperoleh asalkan ada komitmen dan iltizam yang tinggi untuk menjayakannya.

Focal Person Kebangsaan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah, Mohammad Arif Tun Sakaran berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah sebuah organisasi yang cukup signifikan dan penting dalam mewujudkan permuafakatan untuk mencorakkan masa depan sekolah dan pelajar khususnya dalam konteks merealisasikan dasar pendidikan negara.

Sehubungan itu katanya pengurusan PIBG yang cemerlang akan melahirkan sekolah yang terbilang bukan sahaja dalam akademik dan kokurikulum malah dalam pelbagai bidang termasuk melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri, sahsiah dan keperibadian yang unggul.

“Tidak dinafikan, peranan dan tanggungjawab PIBG di sekolah memberi kesan kepada kemajuan dan pencapaian kerana PIBG menjadi medium atau wahana untuk mencetuskan halatuju dan matlamat sekolah ke arah kecemerlangan dalam pendidikan.

“Pengurusan PIBG yang cemerlang akan melahirkan sekolah yang terbilang. Saya berharap segala perancangan kelak dapat dilaksanakan sepenuhnya bagi mencapai hasrat yang sama-sama kita inginkan. InsyaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya kali ke 15 dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri SMK Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengetua SMK Pulau Gaya, Kinit Tagok dan Yang Dipertua PIBG SMK Pulau Gaya, Kanchi Abdullah.

Mohammad Arif menambah kecemerlangan sesebuah organisasi atau persatuan amat bergantung kepada beberapa elemen yang perlu digerakkan secara bersama dan seiring.

“Oleh itu saya menyeru supaya kita sama-sama berpadu tenaga dan menyumbang buah fikiran dalam membangunkan dan memajukan PIBG demi kecemerlangan pendidikan anak-anak didik SMK Pulau Gaya.

“Elemen perpaduan dalam kalangan ahli adalah sangat penting kerana ini akan membolehkan sesebuah organisasi itu memaksimumkan sumber tenaga dan berusaha ke arah kecemerlangan,” katanya.

Mohammad Arif berkata dalam merealisasikan dasar pendidikan negara, aspek pengurusan adalah amat penting.

Dalam konteks ini katanya, PIBG harus cekap dan berkesan bagi menghadapi perubahan-perubahan semasa.

“PIBG boleh melaksanakan banyak aktiviti yang telah dirancang dan disusun mengikut keperluan sekolah seperti program kelas tambahan, kem motivasi untuk pelajar, program gotong-royong, seminar dan sebagainya.

“Pengurusan PIBG yang cekap dan berkesan akan mencerminkan kualiti kepimpinan yang berwibawa dan mencapai objektif persatuan,” tegasnya.

Menurut beliau, budaya ilmu dan budaya kerja yang cemerlang perlu dipupuk dan disemai agar PIBG terus relevan dan menjadi penyumbang kepada kecemerlangan pendidikan anak-anak.

Mohammad Arif menyeru PIBG SMK Pulau Gaya agar dapat bergerak secara aktif dan terancang agar kewujudannya dapat memberi sumbangan yang bermakna dan berkesan dalam usaha mencapai kecemerlangan yang diharapkan.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada PIBG SMK Pulau Gaya yang turut menyumbang bagi menjayakan kemenjadian anak-anak didik di SMK Pulau Gaya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles