PUTATAN: UMNO melebarkan sayapnya ke negeri ini atas permintaan rakyat Sabah sendiri, kata presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabahlah yang mahukan UMNO menubuhkan cawangan parti itu di negeri ini, termasuk Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun demi penyantuman atau perpaduan di kalangan rakyat Sabah, Sarawak, dan semenanjung.
Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak mempunyai sebarang perancangan awal untuk memasuki Sabah, namun pelawaan rakyat Sabah sendiri mendorong keputusan parti itu.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Aidifitri UMNO Bahagian Putatan di sini pada Sabtu.
Turut hadir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Ketua UMNO Putatan Jeffrey Nor dan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Ahmad Zahid menekankan bahawa UMNO bukan parti Malaya, sebaliknya ia merupakan “parti kebangsaan” yang mewakili semua rakyat, termasuk rakyat Sabah.
Untuk rekod, UMNO mengumumkan keputusan melebarkan sayapnya ke Sabah atas permintaan rakyat Sabah sendiri berikutan tindakan Parti Bersatu Sabah (PBS) keluar Barisan Nasional (BN) beberapa hari selepas ‘penamaan calon’ pilihan raya umum pada tahun 1990.