Kerajaan Perlu Komited Berterusan Basmi Kemiskinan 

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu komited berterusan bagi membasmi kemiskinan di negara ini.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhannya.
Menurut perangkaan, Bumiputera merupakan golongan yang paling terkesan dengan rekod pada tahun 2019 sebanyak 7.2 peratus berbanding kaum lain, katanya.
Beliau berkata kadar pengangguran Bumiputera bagi suku kedua tahun berikutnya ialah 5.2 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding purata nasional sebanyak 5.1 peratus.
“Keadaan bertambah buruk selepas kita berhadapan krisis COVID-19 yang belum nampak tanda pemulihan. Melalui angka- angka ini saya berpendapat fokus dan penumpuan usaha pembasmian kemiskinan hendaklah menjadi agenda utama kerajaan,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya.
Salleh berpendapat, usaha itu perlu dilaksanakan mengikut setiap saluran negeri, bandar dan luar bandar meliputi semua kaum supaya kemiskinan dapat ditangani dengan lebih berkesan terutama kategori B40.
Katanya antara langkah tersebut ialah menyemak semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
“Sebagai contoh, penilaian semula dan pengukuran PGK menggunakan metodologi 2005 dan 2019. Perbandingan keduanya dilihat menghasilkan data yang tidak selari dan tepat berdasarkan keadaan semasa.
“Sistem penilaian baru yang lebih komprehesif diperlukan supaya kedudukan PGK sebenar selari dengan perkembangan semasa serta perubahan pembangunan Malaysia dapat dijana,” katanya.
Salleh berkata langkah seterusnya yang perlu diberi perhatian ialah ilmu dan kemahiran.
“Ilmu dan kemahiran adalah kunci terpenting bagi membantu golongan ini keluar dari kepompong kemiskinan.
“Seperti yang kita tahu pelbagai agensi dan badan yang telah diwujudkan kerajaan bagi membantu rakyat meningkatkan kemahiran dan taraf hidup. Sebagai contoh Mara dan Tekun Nasional yang menyediakan latihan dan pinjaman buat mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan.
“Bagi anak muda pula, terdapat pelbagai cabang untuk mereka melanjutkan pelajaran di bidang kemahiran dengan kos yang rendah bagi memenuhi kehendak industri seperti Giat Mara dan IKBN,” katanya.
Bagi memastikan keberkesanannyq, Salleh berkata maklumat mengenainya harus sampai kepada yang memerlukan.
Dalam pada itu, beliau berkata program pembasmian kemiskinan kerajaan termasuk yang dikendalikan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dilihat mampu untuk mengatasi permasalahan itu.
Salleh berharap semua pihak termasuk pemimpin politik,  pihak kerajaan atau pembangkang dapat bersatu bagi membantu rakyat yang terperangkap dalam belenggu kemiskinan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles