KOTA KINABALU: Selepas melaksanakan program turun padang di Keningau pada Sabtu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini meninjau masalah bekalan air di kawasan perumahan University Apartment, dekat sini.
Bercakap kepada pemberita, Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata beliau amat prihatin dengan permasalahan yang dihadapi sekitar 5,000 penghuni University Apartment.
Menyedari kesulitan hidup yang mereka alami, beliau telah meminta pihak pentadbir air negeri Sabah untuk mencari jalan terbaik bagi menangani masalah itu.
“Saya faham sudah lama mereka mengalami suasana tiada air…kalau ada pun satu atau dua jam sahaja dan oleh itu, saya telah meminta pentadbir air negeri Sabah supaya memastikan bahawa masalah air di perumahan ini dapat diselesaikan “sedikit-sedikit”.
“Bagaimanapun, kalau 100 peratus (selesai) saya tidak jamin, kerana projek loji air Talibong 2 belum diselesaikan dan dijangka siap dua tahun lagi (2023). Air yang ada di sini kita minta dari Tuaran sedangkan Tuaran pun memerlukan air. Jadi kalau kita bekal air di sini Tuaran tiada air dan kalau kita bekal air di Tuaran di sini pula tiada air,” katanya.
Oleh itu, beliau telah meminta supaya pentadbir air mengadakan perbincangan agar catuan secara teratur dilaksanakan bagi memastikan masalah yang dihadapi penghuni University Apartment dapat diringankan.
Mengenai perancangan jangka panjang, Bung berkata terdapat keperluan untuk membina beberapa lagi kolam air seperti yang ada di Segaliud di Sandakan.
Katanya ini termasuk kolam air bagi menampung keperluan yang bertambah khususnya di bandar Kota Kinabalu dan Tawau.
Bagaimanapun, katanya kosnya bukan murah kerana satu kolam takungan air memerlukan peruntukan sehingga RM500 juta.