Pembatalan Projek BALB di Kg Kapa – Kg. Sinalapak dan Sekitarnya akan ditarik balik seikiranya tiada lagi isu bantahan penduduk: KKDW

KUALA LUMPUR: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diminta untuk mengemukakan surat penarikan balik surat pembatalan projek Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Kapa – Kg. Sinalapak dan Sekitarnya, Tamparuli sekiranya mahu projek tersebut diteruskan.

Advertisements

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memaklumkan JANS perlu menyertakan bukti kukuh dan pengesahan penerimaan penduduk dan tiada lagi isu bantahan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

“Berikutan projek ini sudah lama diluluskan, maka surat tersebut hendaklah dikemukakan segera sebelum akhir tahun 2023 bagi tujuan tindakan susulan di peringkat KKDW.

“Oleh yang demikian, pihak kementerian akan menangguhkan projek ini sehingga isu bantahan diselesaikan,” ujar KKDW.

Kementerian tersebut menyatakan demikian dalam jawapan bertulis untuk memberi maklum balas terhadap ucapan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.

Dalam ucapannya, Madius memohon KKDW supaya pembatalan Projek Membina Loji Rawatan Air Terawat, Bekalan Air Luar Bandar Kampung Kapa, Kampung Sinalapak dan sekitar ditarik balik.

Menurut KKDW, pelaksanaan projek BALB di Kampung Kapa – Kampung Sinalapak dan sekitarnya dibatalkan Pihak Berkuasa Air Negeri (PBAN) Sabah akibat bantahan keras penduduk lima buah kampung di Kota Belud iaitu Kg. Bundu Paka, Kg. Tambatuon, Kg. Lingkubang, Kg. Porak Ogis dan Kg. Kebayau Lama.

“Lokasi cadangan muka sauk dan loji rawatan air yang terletak di Sungai Kadamaian di Kg. Bundu Paka yang dibantah oleh penduduk tempatan mengakibatkan projek ini tidak mempunyai sumber air untuk disalurkan kepada penduduk di Daerah Kota Belud dan Daerah Tuaran yang terlibat.

“Sebelum pembatalan projek diputuskan oleh PBAN, mesyuarat bersama Ketua-ketua Kampung terlibat telah diadakan di Pejabat Daerah Kota Belud pada 22 Mac 2023, disusuli dengan kunjungan hormat Ketua-ketua Kampung terlibat kepada Pengarah JANS pada 27 Mac 2023.

“Sesi dialog terakhir juga dibuat bersama penduduk kampung oleh PBAN bersama Pejabat Daerah Kota Belud pada 18 Julai 2023.

“Satu surat pemakluman bantahan penduduk kampung terlibat secara rasmi telah dikemukakan oleh Pejabat Daerah Kota Belud kepada Pengarah JANS pada 28 Julai 2023.

“Justeru, satu surat rasmi daripada JANS kepada Kementerian mengesahkan pembatalan pelaksanaan projek telah dikeluarkan pada 7 September 2023,” jelas KKDW.

Dalam pada itu, Madius mengharapkan agar penduduk setempat mendapat kata sepakat memandangkan projek itu nanti akan memberikan manfaat kepada semua pihak termasuk penduduk kampung, sekolah-sekolah dan pengusaha – pengusaha eko pelancongan.

“Bantahan sebelum ini mungkin disebabkan oleh ketidakfahaman yang menyebabkan kekeliruan.

“Kita telah mengadakan pertemuan dan akan meneruskan siri dialog dengan penduduk kampung bagi memastikan projek bekalan air terawat yang mesra alam ini tidak terbatal begitu sahaja selepas lebih tujuh tahun saya memperjuang di parlimen,” jelas Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles