PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengemukakan syor supaya pengajian Diploma Undang-Undang Anak Negeri diperkenalkan dan harus ada jawatan tetap Mahkamah Anak Negeri (MAN) seperti Mahkamah Sivil dan Syariah.
Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting bagi memperkasakan institusi Mahkamah Anak Negeri agar setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Syariah.
“Semasa Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 beberapa tuntutan dikemukakan oleh masyarakat anak negeri, antaranya Hal Ehwal Tanah dan Hal Ehwal Adat mesti dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.
“Pendirian saya selama ini adalah, ia tidak harus kekal diatas batu sumpah peringatan Hari Malaysia sahaja tetapi mesti dikembangkan dan diperkasakan menerusi Institusi Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) atau Mahkamah Anak Negeri harus diangkat tarafnya sama seperti Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-Ketua Kampung Cemerlang Siri 8 tahun 2023, Daerah Penampang, di Dewan Kuliah ILMAN, di sini, hari ini.
Ewon berkata, bagi merealisasikan cadangan memperkenalkan pengajian Diploma Undang-Undang Anak Negeri, partinya bersedia mengemukakan input dan modul pengajian yang dicadangkan kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri dan ILMAN.
“Ia melibatkan proses perbincangan yang pastinya mengambil masa tetapi wawasan itu harus kekal di situ iaitu Mahkamah Anak Negeri mesti sama tarafnya dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Ini cara kita menghormati dan menghargai tuntutan kerana tanpa masyarakat anak negeri yang menyokong penubuhan Malaysia, tidak mungkin ada negara Malaysia,” katanya.
Dari segi pentauliahan kepada ketua-ketua adat Ewon berkata, UPKO mencadangkan supaya ada jumlah minimum yang perlu dilatih sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat pengajian diploma berkaitan Mahkamah Anak Negeri.
“Misalnya, satu daerah, kalau ada 10 orang Ketua Anak Negeri di daerah itu, tujuh atau lapan orang boleh dilantik secara politik yang ada penggalnya tetapi seorang atau dua orang itu harus kekal sehingga tempoh persaraan sama seperti penjawat (hakim) di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil yang ada tempoh umur persaraan mereka,” katanya.
Mengenai pembinaan Mahkamah Anak Negeri dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ia harus terus menjadi input kerajaan negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah untuk diangkat ke Kementerian Ekonomi supaya ia dimasukkan dalam RMK13.
“Sebagai ahli kabinet kerajaan persekutuan, saya menyokong sepenuhnya wawasan dan keinginan anak negeri Sabah supaya satu bangunan Mahkamah Anak Negeri dibina di setiap daerah.
“Ini bukan sesuatu yang baru kerana dalam RMK12 beberapa bangunan mahkamah telah dibina di beberapa dareah dan kita mahu ianya diteruskan dalam RMK13,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan bangunan mahkamah anak negeri di daerah-daerah yang belum ada bangunan itu harus diteruskan.
“Kota Belud antara yang belum ada bangunan Mahkamah Anak Negeri dan saya fikir, wajar untuk daerah-daerah lain juga memiliki bangunan itu,” katanya.