KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah dilihat sebagai retorik apabila menarik balik saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada 20 September lepas mangenai tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Nabila Norkahar berkata 12 pemimpin PH menarik balik kes mahkamah tersebut ketika sedang menerajui kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.
Sedangkan, katanya, mengikut laporan pada bulan November tahun lalu, mereka mengatakan tidak akan menarik saman ini walaupun gabungan itu berjaya membentuk parti politik lain selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
Katanya beliau memahami bahawa plaintif di dalam sebuah kes sivil berhak untuk menarik balik kęs mahkamahnya, tetapi tindakan 12 pemimpin PH Sabah menarik semula saman pemula mereka menunjukkan bahawa pemimpin PH Sabah tidak ikhlas dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 63 (MA63).
“Mereka mengatakan bahawa Putrajaya telah membuat progres dimana dua daripada tiga deklarasi yang mereka pohon di dalam saman telahpun dipersetujui dan akan ditunaikan pada masa akan datang, dan isu yang tinggal ialah deklarasi bagi Sabah menerima geran khas berjumlah dua-lima (formula 40 peratus) hasil bersih kerajaan persekutuan daripada negeri.
“Jika ini adalah sebab-sebab penarikan semula saman pemula tersebut, ianya hanyalah spekulasi dan harapan daripada pemimpin PH Sabah.
“Adalah masih pra-matang untuk menyimpulkan bahawa kesemua deklarasi akan ditunaikan sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau bersetuju bahawa plaintif bebas untuk memfailkan semula saman tersebut sekiranya kerajaan Persekutuan tidak menunaikan janji mereka.
“Tetapi mengapa tidak perkara ini diteruskan dan diselesaikan secara langsung? Sepatutnya pemimpin PH Sabah membiarkan mahkamah memutuskan kes sivil tersebut berdasarkan merit jika ikhlas memperjuangkan hak Sabah,” kata Nabila.