KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan mengambil tindakan segera bagi membaiki jambatan yang runtuh di Kampung Tahubang Ranau, kata Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Bung Moktar Radin (gambar)
Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata beliau telah menerima laporan tersebut dari JKR Ranau berhubung kejadian itu dan pihak JKR Ranau telah turun padang bagi memantau dan memberikan laporan terperinci mengenai kerosakan jambatan itu.
Dalam kejadian pada malam Isnin lepas, jambatan konkrit merentasi Sungai Tahubang di Ranau Runtuh ekoran berlakunya hakisan pada abutmen jambatan tersebut.
Laporan sebuah protal dalam talian menyebut ekoran kejadian tersebut beratus ratus penduduk turut terjejas perhubungan mereka terutama dari kampung Kenipir Gana ke Gana Gaur serta kampung kampung sekitarnya.
Menurut Bung beliau sudah meminta pihak jurutera daerah Ranau memantau dan memberikan laporan terperinci mengenai kejadian tersebut dan difahamkan laporan serta anggaran kos pembaikan telah dikemukakan ke ibu pejabat JKR.
“Untuk kes-kes seperti ini kita akan menggunakan peruntukan kecemasan untuk memperbaikinya,” katanya ketika dihubungi di sini bagi mengulas kejadian tersebut.
Tambah Bung, bagi jangka pendek untuk mengatasi kesukaran penduduk yang melalui kawasan tersebut, satu jalan alternatif akan dibuat sementara menunggu proses membaiki jambatan baharu siap dilaksanakan.