KOTA KINABALU: Pemeriksaan darat atau Road Check Point (RCP) harus bersifat mudah alih dan tidak statik di satu-satu lokasi dalam satu tempoh yang lama.
Ketika melontarkan saranan itu, Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata ia penting bagi mengurangkan peluang penyeludup menggunakan jalan tikus sedia ada sekaligus boleh memastikan ketirisan hasil cukai yang merupakan pendapatan utama negara ditangani dengan lebih baik.
Dalam masa yang sama , katanya pemeriksaan laut atau Sea Check Point (SCP) juga perlu diwujudkan di kawasan perairan Tawau dan Sandakan supaya kedaulatan wilayah negara terus terpelihara selain memastikan kehadiran pihak berkuasa lebih dirasai.
Zaki berkata pihak berkuasa perlu lebih proaktif menangani jenayah penyeludupan, dadah, pencerobohan PATI dan kecurian balak khasnya di kawasan ESSZONE agar tahap kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap aktiviti penguatkuasaan yang sedang berjalan kekal terpelihara.
“Kita mencadangkan agar semua RCP tidak beroperasi di satu-satu lokasi lebih daripada tiga bulan supaya boleh menyukarkan aktiviti penyeludupan. Untuk itu, RCP yang sedang beroperasi di Kalabakan perlulah dipindahkan ke kawasan Tibow kerana buat masa ini terdapat beberapa jalan tikus yang boleh digunakan oleh pelaku jenayah di sana khasnya yang dikaitkan dengan pembalakan haram serta PATI.
“Kita turut mencadangkan agar RCP di Batu 32 Sandakan diaktifkan semula selain mahu melihat ‘Ops Payung’ diwujudkan secara kekal di kesemua pintu masuk pesisir laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zaki lagi, SCP dan ‘Ops Payung’ juga boleh membantu memutuskan rantaian pendemik Covid-19 kerana mampu mencegah kemasukan PATI dengan lebih berkesan.
“Statistik Covid-19 di Sabah sedang menunjukkan penurunan. Kita mahu memastikan trend ini mampu diteruskan dengan menghalang kemasukan PATI yang sudah pasti tidak menjalani saringan Covid-19 sebelum memasuki Sabah secara haram. Kita tidak mahu rakyat tempatan menjadi mangsa keadaan,” katanya.