Jangan hentikan penawaran Bahasa Kadazandusun di IPG: Madius

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan untuk meneruskan penawaran Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun (BKD) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran.

Advertisements

Menurutnya, pada tahun 2022, masyarakat Kadazandusun di seluruh negara terkejut kerana pengambilan program PISMP Bahasa Kadazandusun ada diiklankan namun tidak seorang pun yang ditawarkan memasuki ke IPG Kent.

“Tidak ada apa-apa penjelasan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan tentang perkara ini.

“Pada Tuaran, pemberhentian pengambilan guru pelatih untuk program Bahasa Kadazandusun akan menjadikan kekurangan guru-guru terlatih BKD semakin kritikal dan akhirnya pembelajaran dan pengajaran subjek ini terhenti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Sidang Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Madius berkata, tinjauan yang dilakukan mendapati kekurangan guru Bahasa Kadazandusun di sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh Sabah adalah kritikal.

“Ini belum termasuk guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina yang berhasrat menawarkan subjek Bahasa Kadazandusun namun menghadapi masalah kekurangan guru.

“Tindakan Kerajaan memberhentikan penawaran kursus BKD secara mengejut sangat tidak wajar dan tidak adil kepada etnik-etnik pribumi Sabah khususnya rumpun Kadazandusun.

“Oleh itu, Tuaran meminta supaya Kerajaan menyediakan bajet sebanyak RM1.5 juta untuk menampung sekurang-kurangnya 20 guru pelatih setiap tahun di IPG Kent,” tegas Madius lagi.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dalam ucapan balas berkata, bermula tahun 2021 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menawarkan opsyen Bahasa Kadazandusun bagi PISMP melalui laluan khas seperti ambilan calon laluan khas Orang Asli, Sekolah Seni Malaysia, Sekolah Sukan Malaysia, calon Bahasa Iban dan murid berkeperluan khas bagi memenuhi keperluan tahun 2026.

“Kaedah pengambilan ini diubah kerana pengambilan calon Bahasa Kadazandusun setiap tahun tidak memenuhi unjuran yang ditetapkan.

“KPM telah membuka permohonan bagi PISMP bidang Bahasa Kadazandusun pada ambilan Jun tahun 2021 melalui laman sesawang https://pismp.moe.gov.my.

“KPM juga telah selesai membuat proses pengambilan ini berdasarkan unjuran keperluan guru Bahasa Kadazandusun pada tahun 2026. Kesemua calon yang berjaya sedang mengikuti pengajian di IPG Kent, Tuaran,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles