KOTA BELUD: Kerajaan sedang menterjemah perancangan capaian Internet di Sabah supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati jaringan komunikasi yang lebih baik.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata tahun ini di Kota Belud sahaja, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM8.94 juta bagi melaksanakan pembinaan tujuh menara telekomunikasi baharu untuk kemudahan rakyat di kawasan Parlimen Kota Belud.
Katanya projek dibawah Pelan JENDELA itu akan dilaksanakan di Kampung Mandawang, Kg Lugu, Kg Pangi, Kg Lasau Tintapon, Sk Labuan, SK Gunsarai dan Kampung Lahanas Siba.
Salleh yang ADUN Usukan berkata ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperluaskan lagi liputan dan mempertingkat kualiti perkhidmatan jalur lebar secara menyeluruh di daerah itu.
“Kita akan pastikan seluruh kawasan Kota Belud mendapat liputan jalur lebar yang lebih baik. Bagi kawasan terpencil, mungkin kita akan gunakan satelit,” katanya.
Salleh mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis perasmian ceramah Keselamatan dan Peningkatan Ekonomi DUN Kadamaian di Kg Melangkap,dekat sini hari ini.
Beliau menyeru rakyat supaya memanfaatkan kemudahan internet untuk menceburi perniagaan atau pemasaran digital atau perniagaan dalam talian.
Dalam hal ini, Salleh berkata adalah penting bagi kerajaan membantu menyediakan kemudahan internet bagi memudahkan mereka menjalankan perniagaan dalam talian.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan naratif perjuangan tetapi “tidak mampu membawa apa-apa pembangunan untuk rakyat”.