Kerajaan Serius Bantu Ringankan Beban Inflasi –   Salleh

KOTA BELUD: Kerajaan serius untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Sabah yang terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan di pasaran.

Advertisements

Ke arah itu,  bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk memperkenalkan program Jualan Murah Keluarga Malaysia.

Salleh yang juga ADUN Usukan berkata
kerajaan tidak membiarkan rakyat terbeban dengan begitu sahaja.

Sebab itu, katanya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Usukan menganjurkan kali ketiga Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Mukim Ambong bagi menyahut seruan dan misi murni kerajaan untuk menolong rakyat.

Sebelum ini, program yang serupa masing-masing telah diadakan di Mukim Kulambai dan Mukim Kota Belud.

Program Jualan Murah Keluarga Malaysia itu menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus beberapa jenis barang keperluan asas, termasuk ayam, ikan, telur, gula, minyak, sayur, tepung dan beras, katanya.

“Insya-Allah kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat dan akan terus dari semasa ke semasa mencari jalan terbaik membantu meringkankan beban rakyat ekoran kenaikan harga barangan keperluan,” katanya.

Salleh berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Kedai Runcit Sri Pengkalan , Kg. Pangkalan Abai, dekat sini, hari ini.

Menurut Salleh, program itu, antara lain, bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat untuk membeli barangan keperluan asas pada harga lebih murah.

Beliau berharap penduduk Kota Belud khususnya di DUN Usukan dapat meluangkan masa berkunjung ke program jualan murah itu.

Beliau juga mengingatkan para peniaga supaya tidak menaikkan harga barang sesuka hati demi kebaikan bersama.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles