MAFI, MPN Adakan Program Komuniti Agromakanan Johor

PAGOH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada hari ini telah mengadakan program bersama Komuniti Agromakanan Johor bagi menerangkan peranan MAFI dan MPN ketika negara menempuhi fasa endemik dan pemulihan akibat pandemik COVID-19.
Ianya disampaikan oleh Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, Johor yang turut dihadiri seramai 500 orang yang terdiri daripada komuniti agromakanan negeri Johor.
Pelan Pemulihan Negara (PPN) memainkan peranan penting untuk merintis perjalanan Malaysia keluar dari krisis pandemik ini secara teratur dan berkesan. Pelan ini dirangka berlandaskan pendekan “Whole of Nation”.
Pendekatan sebegini akan menggembeleng kerjasama tidak terbelah bahagi seluruh anggota masyarakat dan Kerajaan dalam melaksanakan strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik dan membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan harian biasa melalui adaptasi norma baharu.
Pelaksanaan PPN dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan impak positif apabila ekonomi Malaysia kini beransur pulih dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih luas.
Dr Ronald berkata, Kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha sedaya-upaya bagi memastikan wujud keseimbangan antara kehidupan dan keperluan melindungi nyawa, di samping menjamin kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
Menurut beliau, kejayaan kita hari ini dalam menangani pandemik COVID-19, termasuk kejayaan program vaksinasi adalah hasil kepimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sejak COVID-19 melanda negara, Kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang berjumlah lebih RM530 billion bagi memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
“Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini termasuk Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana, Kita Prihatin, Permai, Pemerkasa, Pemerkasa+ dan juga Pemulih.
“Pada masa yang sama, sektor agromakanan juga telah diberi keutamaan sebagai satu perkhidmatan perlu bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan Negara,’ katanya.
Tambah beliau lagi, Dana Khas Persatuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sehingga hingga RM200,000 juga diberikan kepada setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Persatuan Peladang Kawasan (PPK).
‘Johor juga tidak ketinggalan, dua PPK di Pagoh sahaja, iaitu PPK Pagoh dan PPK Gambir masing-masing turut menerima peruntukan lebih RM1 juta antara tahun 2020 dan 2021 di bawah Perdana Menteri ke-8,’ jelas Dr Ronald.
Sektor agromakanan merentasi semua subsektor telah menerima pelbagai dana-dana yang diberikan melalui pakej-pakej seperti Prihatin, Penjana dan Dana Jaminan Makanan berjumlah hampir RM1 billion bagi dimanfaatkan oleh petani, peladang, nelayan, penternak dan semua golongan sasar sektor agromakanan.
Dalam program tersebut turut disampaikan sumbangan Bakul Makanan MAFI Prihatin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada 500 orang penerima komuniti agromakanan di Johor yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 dan bencana banjir.
Selain itu, pelbagai insentif dan bantuan juga turut disalurkan MAFI melalui FAMA kepada hampir seribu peserta daripada komuniti agromakanan di Johor seperti Pakej Pengukuhan Pemasaran Digital kepada 600 peserta, Pakej Pengukuhan Pasaran Mikro IAT FAMA kepada 370 peserta, Pakej pembekalan Agromula & Agrosedia ( Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran) kepada 44 peserta dan Pakej Pembekalan Agrosedia (GBBS, ABR, Karavan Tani) kepada 6 peserta. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga turut memberikan Geran Agropreneur Muda kepada 7 peserta manakala Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberikan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 20 penerima dibawah program touch point LKIM bagi Persatuan Nelayan Kawasan Muar.
MAFI di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akan terus memberi penekanan kepada inisiatif bagi meningkatkan keupayaan sektor agromakanan sebagai suatu sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan daya tahan sistem makanan secara menyeluruh.
Strategi dan inisiatif di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 akan terus dilaksana bagi mencapai sasaran tahap sekuriti makanan dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa.
Turut hadir sama dalam majlis ini, Pengerusi FAMA, YB Dato’ Haji Mohd Fasiah Bin Haji Mohd Fakeh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Badrul Hisham Bin Mohd, Ketua Pengarah FAMA, YBhg. Dato’ Zainal Abidin Bin Yang Razalli.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles