KOTA BELUD: Program Pembangunan Bakat Badminton (PPBB) dengan kerjasama KPM dan Perodua Kejohanan Peringkat Negeri Sabah tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan O.K.K. Haji Annuar, dekat sini baru-baru ini.
Program itu merupakan salah satu usaha mencungkil dan mengembangkan bakat murid dalam sukan badminton.
Selain itu, ia bermatlamat melahirkan atlet muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Tuan Haji Abidin bin Haji Marjan hadir menyantuni para peserta kejohanan dan sekaligus merasmikan Majlis Perasmian kejohanan tersebut.
Majlis itu turut dihadiri Dr. Japran bin Haji Kusin, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud sebagai daerah tuan rumah.
Majlis penutupan kejohanan pula telah disempurnakan Tuan Muddin Bin Beting, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah.
Turut hadir juga Tuan Fauzee bin Pelih, Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat (Sukan), Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Kejohanan itu dikelolakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud dengan kerjasama SK Pekan Kota Belud sebagai PLP tuan rumah untuk kejohanan kali ini.
Tidak lupa juga SJK(C) Chung Hwa Kota Belud sebagai sekolah lokasi kejohanan.
Pada tahun ini, kejohanan itu telah mengumpulkan penyertaan seramai 50 pegawai dan 180 orang murid dari pelbagai kategori umur bermula 9, 10, 11 dan 12 tahun ke bawah dari 10 Pusat PPBB yang ada di negeri Sabah.
Sepanjang kejohanan berlangsung, para peserta telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, disiplin serta kesungguhan dalam memberikan persembahan terbaik bagi merebut gelaran juara dalam acara yang dipertandingkan.
Penganjuran kejohanan itu juga menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam kalangan murid, selain memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman pertandingan, meningkatkan kemahiran permainan dan membina keyakinan diri.
Program Pembangunan Bakat Badminton KPM-Perodua turut mencerminkan komitmen berterusan dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan di peringkat sekolah, khususnya melalui kerjasama dalam mengenal pasti, membimbing dan menggilap potensi atlet muda.
Kejohanan yang berlangsung di Kota Belud itu bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan peserta, malah turut mengeratkan hubungan antara kontinjen yang mengambil bahagian serta semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan badminton di negeri Sabah.
Diharapkan agar kejohanan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai pemain badminton berbakat yang mampu mengharumkan nama sekolah, daerah dan negeri Sabah, seterusnya bersaing di peringkat kebangsaan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta, jurulatih, pegawai teknikal, urus setia serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan Kejohanan Peringkat Negeri Sabah Program Pembangunan Bakat Badminton KPM-Perodua.
